Orang ramai beratur pada hari pertama pembukaan Apple Store Malaysia di pusat membeli belah The TRX Exchange. FOTO AZIAH AZMEE
Orang ramai beratur pada hari pertama pembukaan Apple Store Malaysia di pusat membeli belah The TRX Exchange. FOTO AZIAH AZMEE
Muhammad Saufi Hassan


Kedai fizikal pertama di negara ini, Apple Store yang bertempat di 'The TRX Exchange' (TRX) dibuka untuk orang awam bermula hari ini.

  Sejak awal pagi, orang awam kelihatan mula memenuhi ruang menunggu di TRX untuk melihat sendiri kedai fizikal pertama produk Apple berkenaan di negara ini.

  Menerusi pembukaan kedai pertama Apple Store di negara ini, ia memperlihatkan produk keluaran jenama itu akan terus dominan dengan penguasaan pasaran peranti pintar serta perkakas sedia ada.

  Ia juga melengkapkan penawaran produk dalam ekosistem Apple berkenaan.

  Terdahulu, Apple Store berkenaan yang terletak di 'The TRX Exchange' memberi definisi baharu kepada pengalaman kepenggunaan serta pembelian untuk semua variasi produk keluaran jenama itu.

  Pelanggan boleh merasai dan membeli pelbagai barisan produk dan perkhidmatan Apple yang inovatif dan memanfaatkan sepenuhnya peranti mereka melalui sesi percuma 'Today di Apple.'

  Naib Presiden Kanan Bahagian Runcit Apple, Deirdre O'Brien berkata, pihaknya teruja dengan pembukaan Apple Store pertama di negara ini.

  "Menerusi pembukaan ini, kita dapat menyokong dan berhubung secara langsung dengan komuniti baharu dan ia sentiasa menjadi pengalaman istimewa untuk pasukan runcit kami serta kami tidak sabar untuk mengalu-alukan pelanggan ke kedai fizikal ini," katanya.

  Pengguna boleh menikmati pengalaman unik menerusi barisan peranti iPhone 15 sehingga kepada perkakas MacBook Air dengan cip pemproses M3 dan generasi baharu iPad terkini.

  Apple The Exchange TRX akan menjadi hab pendidikan yang memberi inspirasi, menawarkan pelanggan sesi dalam kedai percuma melalui Today at Apple. 

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 Jun 2024 @ 5:30 PM