Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bek tengah, Shahrul Mohd Saad menjelaskan pemain skuad kebangsaan tidak berdepan masalah membentuk keserasian walaupun diberikan peluang berlatih bersama dalam kem latihan pusat selama tiga hari sebelum pertemuan persahabatan antarabangsa pertama Tier 1 menentang Kepulauan Solomon pada Rabu ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Jelas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, faktor pernah bersama sebelum ini selain masing-masing sudah mengetahui corak permainan adalah faktor utama pasukannya dijangka tidak berdepan masalah untuk membentuk gandingan mantap.

"Saya tidak nafikan kami baharu memulakan latihan pertama semalam dengan aktiviti fizikal selain latihan ringan bawah kendalian ketua jurulatih, Kim Pan-gon.

"Tapi untuk membentuk keserasian bagi saya tidak ada masalah kerana kebanyakan pemain yang ada kami sudah biasa berlatih bersama walaupun bukan setiap hari, namun apabila dipanggil dalam skuad kebangsaan, kami memang memberikan kerjasama antara satu sama lain," kata pemain berusia 30 tahun itu ketika ditemui pada sidang media di Kuala Terengganu, petang ini.

SHAHRUL Saad semasa sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini. FOTO GHAZALI KORI
SHAHRUL Saad semasa sidang media menjelang perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 antara Malaysia dan Kepulauan Solomon pada 14 Jun ini. FOTO GHAZALI KORI

Ketika ditanya mengenai barisan pemain yang dipanggil Pan-gon pada aksi persahabatan antarabanga Tier 1 ini, pemain kelahiran Perak itu akui masing-masing mempunyai kelebihannya selain barisan kejurulatihan mempunyai strateginya yang tersendiri.

"Semua pemain masing-masing berada pada tahap prestasi terbaik dan mereka begitu positif selain nampak hubungan erat antara satu sama lain walaupun baharu bersama petang semalam buat kali pertama.

"Jadi pemillihan pemain pada kali ini saya lihat satu persaingan yang bagus buat kami, mereka beraksi dengan baik dalam saingan Liga Super, jadi apabila dipanggil oleh jurulatih, semua tahu setiap pemain ada kelebihan masing-masing untuk memperkuatkan pasukan Harimau Malaya," katanya.

Ketika ditanya mengenai kemudahan di stadium berkenaan, bekas kapten kebangsaan itu akui semuanya berada dalam keadaan baik dan lengkap.

"Kemudahan semuanya baik dan lengkap, makanan pun okay, padang stadium pun terbaik, ada gimnasium, ini tidak jadi masalah buat kami, kami selesa di sini, kami cuma harap dapat berlatih dengan baik termasuk cuaca sebelum berdepan dua perlawanan penting itu," jelasnya.

Skuad kebangsaan yang berada di ranking ke-138 dunia bakal kali pertama beraksi di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin bakal berdepan dengan pasukan di ranking ke-134 dunia, Kepulauan Solomon pada Rabu dan pasukan di kedudukan ke-159 dunia, Papua New Guinea pada 20 Jun dengan semua aksi berlangsung di sebelah malam di stadium berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Jun 2023 @ 4:18 PM