Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pemain naturalisasi, Lee Tuck berikrar mahu membalas kepercayaan ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang memberi peluang kepadanya berada dalam kem skuad kebangsaan menghadapi dua aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kali ini.

Pemain kelahiran Halifax, England itu tidak sabar membuat penampilan kesembilan untuk berdepan Kepulauan Solomon pada Rabu ini dan Papua New Guinea pada 20 Jun ini di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak.

Bekas pemain Terengganu FC (TFC) itu membuat penampilan pertama bersama Harimau Malaya ketika berdepan Kemboja dan Maldives yang menyaksikan pemain berusia 35 tahun itu meledak jaringan dalam dua pertemuan itu.

"Walaupun baru dua hari bersama dalam kem latihan pusat skuad kebangsaan, semuanya bagus, malah saya lihat pasukan pada kali ini lebih baik dan mantap.

"Namun berdepan lawan mempunyai saiz fizikal berbeza selain Kepulauan Solomon berada di ranking lebih baik berbanding skuad Harimau Malaya, kami perlu bermain dengan konsisten dan lebih bertenaga untuk mendapat keputusan yang baik.

"Malah, kami tidak mahu merendahkan kemampuan Papua New Guinea yang berada di ranking ke-159 berbanding skuad Harimau Malaya ke-138 dunia dan kami harus sentiasa waspada.

"Secara peribadi, saya akan cuba sedaya upaya memperagakan aksi terbaik untuk membantu pasukan negara melakar kemenangan jika diberi peluang diturunkan.

LEE Tuck gigih menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO GHAZALI KORI
LEE Tuck gigih menjalani latihan bersama skuad Harimau Malaya. FOTO GHAZALI KORI

"Lagipun Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin tidak asing buat saya apabila menyarung jersi TFC hampir empat tahun, banyak kenangan di sini dan saya gembira apabila stadium ini dipilih sebagai gelanggang aksi persahabatan antarabangsa kali ini," katanya pada sidang media, hari ini.

Ketika ditanya mengenai peluangnya untuk beraksi memandangkan ramai pemain tengah seperti Safawi Rasid, Stuart Wilkin, Faisal Halim, Mukhairi Akmal dan Endrick Dos Santos disenaraikan kali ini, pemain Kedah Darul Aman (KDA) FC itu menyerahkan kepada barisan kejurulatihan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 12 Jun 2023 @ 5:04 PM