JUNIOR Eldstal menjalani sesi latihan menjelang perlawanan menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini. FOTO Ghazali Kori
JUNIOR Eldstal menjalani sesi latihan menjelang perlawanan menentang Papua New Guinea pada 20 Jun ini. FOTO Ghazali Kori
BERNAMA

Kuala Terengganu: Pemain pertahanan skuad kebangsaan Junior Eldstal mempunyai pelbagai sebab untuk terus berjuang, bagi membuktikan kemampuannya di peringkat kelab mahupun bersama pasukan negara terutama menjelang Piala Asia 2023 di Qatar, Januari depan.

Selain daripada cintanya terhadap bola sepak sejak kecil, pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) yang dipinjamkan ke kelab Thailand PT Prachuap itu mengakui, kelahiran puteri sulung yang berusia empat bulan membakar lagi semangatnya.

"Saya suka bola sepak, saya gembira bermain untuk negara dan kelab, saya sayangkan peminat dan semua mengenai bola sepak dan menyebabkan kenapa saya menjadi pemain profesional. Ketika saya masih kecil itu yang diimpikan dan ia menjadi motivasi saya setiap hari.

"Sekarang pun saya ada anak perempuan berusia empat bulan, itu motivasi untuk saya supaya dia boleh tengok bapa dia (beraksi) di stadium (nanti)," kata pemain kacukan Malaysia-Sweden itu ketika ditemui pemberita di hotel penginapan pasukan di sini, hari ini.

Junior antara 27 pemain yang disenaraikan Ketua Jurulatih Kim Pan Gon dalam skuad Harimau Malaya, bagi perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1, masing-masing menentang Kepulauan Solomon, Rabu lalu dan Papua New Guinea (Selasa ini) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Nerus.

Bagaimanapun, beliau tidak beraksi ketika Malaysia menewaskan Kepulauan Solomon 4-1disisihkan akibat kecederaan.

Mengulas lanjut, Junior yang melapor diri lebih awal dari tarikh rasmi kem latihan pusat yang bermula 10 Jun lalu bagi menjalani latihan kecergasan, mengakui keadaannya begitu baik untuk diturunkan pada Selasa meskipun kurang minit perlawanan kompetitif.

"Saya tak mahu cakap banyak pasal tempoh pinjaman (ke kelab Thailand PT Prachuap) dan apa yang jadi di sana, saya tahu mungkin ada peluang untuk dipanggil atau pulang ke JDT semula, jadi saya perlu sentiasa jaga tahap kecergasan di luar mahupun dalam padang," katanya.

Sebelum ini, pemain berusia 32 tahun itu yang membuat tiga penampilan bersama Prachuap dilaporkan menerima layanan secara tidak adil dan berdepan saat sukar di Thailand.

Sebagai rekod, Junior mengumpul 16 penampilan bersama pasukan senior negara setakat ini, selepas mula mewakili Malaysia sejak 10 tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 5:33 PM