AKSI Arif Aiman pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon. FOTO GHAZALI KORI
AKSI Arif Aiman pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Kepulauan Solomon. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Penyerang muda kebangsaan, Arif Aiman Mohd Hanapi akui belum puas untuk memburu gol biarpun berjaya menamatkan penantian dengan meledak gol pertama selepas 16 perlawanan di pentas antarabangsa.

Jelas tonggak Johor Darul Ta'zim (JDT) itu, dia juga belum berpuas hati dengan mutu persembahannya walaupun berjaya membantu skuad negara 'membaham' Kepulauan Solomon 4-1 pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), Gong Badak, Rabu lalu.

Pada aksi persahabatan antarabangsa ketiga musim ini itu, pemain berusia 21 tahun itu yang disenaraikan dalam kesebelasan utama Harimau Malaya berjaya membentuk gandingan bertenaga di jentera serangan bersama Faisal Halim dan pemain naturalisasi, Paulo Josue sebelum dia meledak jaringan kedua skuad kebangsaan menerusi sepakan penalti pada masa kecederaan babak pertama.

"Sejujurnya saya tidak kisah siapa yang menjaringkan gol dalam perlawanan menentang Kepulauan Solomon itu kerana apa yang lebih penting cara kita bermain dan menang.

"Namun selepas saya meledak gol pertama dalam karier bersama skuad kebangsaan selepas 16 penampilan, auranya cukup berbeza, saya begitu gembira kerana dapat membantu skuad kebangsaan mendahului 2-1 pada ketika itu sebelum menang 4-1 menewaskan pasukan di ranking lebih baik berbanding kita.

"Kunci kejayaan adalah kerja berpasukan selain persediaan yang rapi dilakukan barisan kejurulatihan serta pemain terutama kami bakal beraksi dalam Kejohanan Piala Asia 2023 pada awal tahun depan di Qatar.

"Bagaimanapun secara keseluruhannya saya belum berpuas hati dengan mutu persembahan, masih banyak kelemahan yang perlu saya perbaiki selain perlu bekerja lebih keras lagi sebelum berdepan cabaran sebenar Piala Asia nanti," kata pemain kelahiran Pahang itu ketika ditemui di SSMZA, Gong Badak.

Selain jaringan Arif Aiman, tiga gol lagi buat pasukan kebangsaan dihasilkan oleh dua pemain naturalisasi, Paulo Josue dan Lee Tuck serta jaringan bertaraf dunia pemain sensasi, Muhammad Safawi Rasid.

Skuad kebangsaan bakal berdepan pasukan di ranking ke-159 dunia, Papua New Guinea pada aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 kedua Selasa depan di stadium sama pada jam 9 malam.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 16 Jun 2023 @ 6:22 PM