GUNDOGAN menjulang trofi Piala FA. FOTO Reuters
GUNDOGAN menjulang trofi Piala FA. FOTO Reuters
AFP

London: Manchester City hanya tinggal satu perlawanan lagi untuk meraih gelaran treble selepas Ilkay Gundogan menjaringkan dua gol untuk menewaskan Manchester United 2-1 dalam perlawanan akhir Piala FA, awal pagi tadi.

Anak buah Pep Guardiola melengkapkan trofi domestik kedua di Wembley dan berpeluang muncul pasukan kedua, selepas United pada 1998/99, memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL), Piala FA dan Liga Juara-Juara pada musim yang sama sekiranya mereka menewaskan Inter Milan sekali gus muncul juara Eropah buat kali pertama pada 11 Jun ini.

"Kami berada dalam kedudukan yang mungkin tidak mampu dilakukan lagi.

"Sebaik memenangi Piala FA, emosinya sangat istimewa dan meraikannya bersama orang ramai adalah sangat hebat," kata Guardiola.

Gundogan menjaringkan gol terpantas dalam sejarah final Piala FA selepas hanya 12 saat.

United menyamakan kedudukan pada minit 33 menerusi sepakan penalti Bruno Fernandes selepas Jack Grealish dihukum kerana bola terkena tangannya.

Bagaimanapun Gundogan yang kontraknya akan tamat pada penghujung musim ini, menjaringkan gol kemenangan enam minit memasuki babak kedua.

"Semua orang tahu Piala FA adalah pertandingan kelab domestik yang paling istimewa di dunia, jadi untuk memenangi trofi ini sekali lagi dan melengkapkan gelaran berganda adalah menakjubkan bagi kami.

"Kami mempunyai peluang untuk memenangi treble dan kami tidak mahu membiarkan peluang ini berlalu begitu sahaja," kata Gundogan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 4 Jun 2023 @ 7:20 AM