GUARDIOLA perlu memastikan anak buahnya terus dahagakan trofi selepas merangkul treble, musim lalu. FOTO AFP
GUARDIOLA perlu memastikan anak buahnya terus dahagakan trofi selepas merangkul treble, musim lalu. FOTO AFP
Reuters

London: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola percaya anak buahnya yang merangkul treble musim lalu, masih cukup kuat untuk memenangi trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali keempat berturut-turut.

Naib juara liga musim lalu, Arsenal berbelanja besar lebih £200 juta (RM1.157 bilion) manakala pasukan di tempat ketiga, Manchester United sekitar £100 juta (RM578.91 juta) dan Chelsea turut melabur besar.

City pula tidak terdesak untuk memantapkan skuad apabila hanya membawa masuk pemain tengah, Mateo Kovacic dengan harga £25 juta (RM144.73 juta) dari Chelsea sebagai pengganti kepada Ilkay Gundogan.

Walaupun pemain Croatia itu dilihat tidak setanding dengan bintang Jerman itu daripada segi jaringan gol penting, Kovacic melihat bola seperti kehendak Guardiola dan cemerlang di posisi pemain tengah menyerang pada aksi pramusim menentang Bayern Munich.

Bek tengah berbakat besar, Josko Gvardiol yang bertopeng ketika mewakili Croatia di Piala Dunia Qatar 2022, dilihat semakin hampir menyertai mereka dari RB Leipzig, tetapi secara keseluruhannya, skuad City kelihatan hampir dsama seperti model musim lalu.

Langkah City kali ini berbeza berbanding musim lalu apabila mereka membuat pembelian hebat dengan menandatangani penyerang Norway, Erling Haaland pada harga £51 juta (RM295 juta) - harga yang kini dilihat menjadi rebutan pada abad ini.

Sekalipun Haaland menyumbang 52 dalam usaha merangkul treble musim lalu, Guardiola berkata, dia masih fikir City memiliki cara untuk mendapatkan hasil lebih baik daripada penyerang berusia 23 tahun itu.

Apabila memenangi treble selepas kerap meletakkan pemain seperti Phil Foden, Julian Alvarez, Kalvin Phillips dan Riyad Mahrez di bangku simpanan, dapat difahami apabila Guardiola merasakan tidak perlu untuk menandatangani nama besar pada musim panas ini.

Dia turut tertarik dengan pemain tengah kreatif, Rico Lewis, 18, yang berada di kelab itu sejak berusia lapan tahun, lebih banyak peluang beraksi untuk mempamerkan kebolehannya.

Guardiola sentiasa ada cara untuk meningkatkan motivasi pemainnya selepas menyamai pencapaian treble Manchester United dan mahu merangkul gelaran liga kelima dalam enam musim serta berpeluang mencipta rekod empat gelaran liga berturut-turut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 Ogos 2023 @ 11:18 AM