RASHFORD bersama rakan sepasukan bakal berdepan City pada final Piala FA Sabtu ini.
RASHFORD bersama rakan sepasukan bakal berdepan City pada final Piala FA Sabtu ini.
Agensi

London: Marcus Rashford mengakui menyekat Manchester City daripada menyamai kejayaan treble bersejarah Manchester United adalah perkara paling penting menjelang final Piala FA Sabtu ini.

United dan City bakal berdepan dalam aksi final Piala FA pertama membabitkan dua kelab Manchester di Wembley di mana Rashford dan rakan sepasukan tekad menghalang musuh tradisi itu daripada mencipta sejarah.

Skuad Pep Guardiola mempertahankan gelaran Liga Perdana musim ini dan selepas final Piala FA, mereka menentang Inter Milan pada final Liga Juara-Juara pada 10 Jun.

Mengatasi United di Wembley Sabtu ini membolehkan City di ambang mencipta sejarah dengan jiran mereka itu hanya satu-satunya kelab Inggeris yang memenangi kesemua tiga trofi utama semusim - ketika Sir Alex Ferguson mengemudi kejayaan pada musim 1998-99.

Ketika skuad Erik ten Hag boleh melengkapkan musim cemerlang dengan menjuarai Piala FA selepas menjulang Piala Liga dan layak ke Liga Juara-Juara, Rashford berkata, kini menjadi keazamannya untuk menyekat impian City.

Ketika majlis anugerah akhir musim United semalam, penyerang England itu berkata: "Memastikan Man United kekal satu-satunya kelab Inggeris yang memenangi treble. Itu perkara paling penting."

Rashford dinamakan oleh Sir Matt Busby sebagai Pemain Terbaik Tahunan pada majlis itu susulan pencapaian individu mengagumkan selepas meledak 30 gol dalam 55 perlawanan dalam semua kejohanan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Mei 2023 @ 9:07 PM