ARTETA tak dapat menyembunyikan kekecewaan. -FOTO Reurters
ARTETA tak dapat menyembunyikan kekecewaan. -FOTO Reurters
ARSENAL kecewa selepas tewas kepada Nottingham Forest. -FOTO AFP
ARSENAL kecewa selepas tewas kepada Nottingham Forest. -FOTO AFP
AFP

London: Manchester City dinobatkan sebagai juara Liga Perdana Inggeris (EPL) buat kali kelima dalam enam musim selepas pesaing utamanya Arsenal tewas 0-1 kepada Nottingham Forest dan kini mereka semakin menghampiri gelaran treble.

Cabaran kejuaraan The Gunners akhirnya lenyap selepas mereka mengalami kekalahan kedua berturut-turut menyebabkan skuad kendalian Mikel Arteta ketinggalan empat mata di belakang City dengan baki satu perlawanan.

Gol separuh masa pertama Taiwo Awonyi juga memastikan Forest berjaya mengelak daripada penyingkiran pada musim pertama mereka kembali ke liga utama selepas 23 tahun.

Kejuaraan Inggeris ketiga berturut-turut City menjadikan perlawanan liga di tempat sendiri hari ini kepada Chelsea sebagai perlawanan meraikan kejayaan.

Anak buah Pep Guardiola kini akan berusaha untuk melengkapkan treble apabila mereka berdepan pesaing tempatan Manchester United dan gergasi Itali, Inter Milan pada perlawanan akhir Piala FA dan Liga Juara-Juara bulan depan.

"Liga Perdana tanpa ragu adalah liga paling mencabar dan kompetitif di dunia sehingga memberitahu anda segala-galanya tentang pencapaian ini," kata kapten City, Ilkay Gundogan.

City menjadi kuasa dominan dalam saingan EPL sejak pengambilalihan yang disokong Abu Dhabi mengubah nasib mereka pada 2008.

Sementara itu Arteta mengucapkan tahniah buat Manchester City kerana memenangi kejuaraan tetapi ia hari yang menyedihkan buat mereka.

"Kini kami perlu berdepan realiti, hari ini kami dibolosi dan gagal menembusi benteng mereka. Kami boleh bermain untuk tiga jam tetapi masih akan gagal melakukannya," kata Arteta, bekas penolong Guardiola di City.

Sementara itu pengendali Forest, Steve Cooper berkata: "Kami mengehadkan pergerakan mereka, keazaman kuat untuk menang dan berjaya melakukannya."

Manchester United dan Newcastle semakin hampir untuk mengesahkan kelayakan ke Liga Juara-Juara Eropah musim depan selepas Liverpool seri 1-1 menentang Aston Villa.

Kedua-dua pasukan yang terikat di tangga keempat dan ketiga liga itu kini tiga mata di depan Liverpool, yang hanya berbaki satu perlawanan

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 8:28 AM