PAN-GON akui bakal berdepan laluan sukar di Piala Asia. -FOTO NSTP
PAN-GON akui bakal berdepan laluan sukar di Piala Asia. -FOTO NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Ketua jurulatih skuad kebangsaan Kim Pan-gon mengakui barisan anak buahnya melalui perlawanan yang penuh mencabar terutama berdepan Korea Selatan pada perlawanan Kumpulan E Piala Asia di Doha, Qatar dari 12 Januari hingga 10 Februari tahun depan.

Walaupun mengakui mengharungi perlawanan sukar namun Pan-gon tetap berfikiran positif skuad Harimau Malaya mampu memberi tentangan sengit kepada pasukan itu.

Katanya, perkara utama adalah kehadiran Harimau Malaya pada saingan Piala Asia itu mampu membanggakan rakyat Malaysia yang sudah pastinya mahu barisan pemain berjuang habis-habisan untuk mencipta kejutan kelak.

"Pada saya, sudah pastinya perlawanan di Qatar cukup mencabar. Salah satu pasukan terbaik iaitu Korea Selatan sudah pastinya sangat mencabar untuk kami.

"Namun, kami tetap akan berusaha memberi tentangan sengit kepada mereka dan juga mahu membuatkan rakyat Malaysia berbangga dengan Harimau Malaya," katanya.

Mengikut rekod, Malaysia diundi dalam Kumpulan E bersama Korea Selatan, Jordan dan Bahrain.

Berdasarkan kemampuan semasa semua pasukan dalam Kumpulan E, Harimau Malaya sudah tentu berdepan tugas sukar dalam usaha mencipta kejutan melepasi peringkat kumpulan pada penampilan kali ini.

Korea Selatan mengakhiri saingan Piala Asia edisi lalu di pusingan suku akhir, manakala Jordan dan Bahrain berjaya mara ke pusingan 16 pasukan terbaik.

Malaysia bakal bertemu Jordan dalam aksi pertama kempen Piala Asia 2023 pada 16 Januari 2024 sebelum bertemu Bahrain pada 22 Januari dan bakal menentang Korea Selatan dalam aksi terakhir saingan peringkat kumpulan pada 28 Januari 2024.

Sebelum ini, skuad negara mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 42 tahun untuk layak ke pusingan akhir Piala Asia secara merit pada Jun tahun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 Mei 2023 @ 2:53 PM