LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan. -FOTO NSTP
LEGENDA bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan. -FOTO NSTP
Amirul Fazli Zulkafli


Kuala Lumpur : Legenda bola sepak kebangsaan, Datuk Zainal Abidin Hassan yakin Harimau Malaya mampu mencatat keputusan positif jika semangat perjuangan yang sama ditunjukkan seperti turun dalam aksi sulung Kumpulan D Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil menentang Kyrgyzstan tempoh hari.

Malaysia perlu menang dalam dua perlawanan awal menentang Jordan dan Bahrain sekali gus menempah slot ke pusingan seterusnya lebih awal.

Jelasnya, beliau percaya dengan kewibawaan jurulatih Malaysia, Kim Pan-gon serta pemain dan mampu memberi tentangan sengit biarpun perbezaan ranking dengan Malaysia agak jauh.

"Kita pernah bermain dengan Tajikistan, Bahrain sebelum ini. Tak jauh mana mereka meninggalkan kita, itu sebelum jurulatih Pan-gon membaiki pasukan.

"Saya menyaksikan Jordan dan Bahrain, corak permainan mereka tidak jauh dengan kita jika kita dapat memberi persembahan terbaik dengan apa yang mereka pernah tunjukkan ketika ketinggalan 3-1 kembali ke 3-4," katanya.

Tambahnya, biarpun sistem pertahanan negara nampak sedikit goyah dalam beberapa perlawanan terakhir sebelum ini namun beliau yakin perkara itu sudah pasti menjadi tumpuan utama bagi barisan kejurulatihan untuk mengatasi perkara berkenaan agar ia tidak berulang lagi di Qatar.

"Bagi saya ini satu pengajaran kepada mereka perlu baiki di Piala Asia. Saya rasa jurulatih Pan-gon tahu apa yang dia inginkan dari pemain pertahanan, apa kesilapan yang dilalui dan harus dibaiki.

Di Piala Asia nanti, Malaysia berada Kumpulan E akan bertemu Jordan dalam perlawanan pembukaan pada 16 Januari diikuti oleh Bahrain (20 Januari) dan Korea Selatan (25 Januari).

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 3:02 PM