Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh mahu barisan pemain skuad Harimau Malaya melakukan terbaik pada kempen Piala Asia 2022 di Qatar.

Hannah berkata, penantian lebih 40 tahun untuk pasukan Malaysia layak secara merit ke kejohanan Piala Asia seharusnya dimanfaatkan sepenuhnya barisan pemain Harimau Malaya untuk mencipta keputusan positif.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan pengendali Harimau Malaya Kim Pan-gon yang membantu pasukan kebangsaan melangkah jauh sehingga layak ke Piala Asia.

"Saya ingin mengucapkan selamat maju jaya kepada pasukan Harimau Malaya di Qatar. Penantian melebihi 40 tahun ini adalah prestasi membanggakan rakyat Malaysia.

"Ingat, bila anda masuk padang nanti bila anda fikir boleh pasti boleh melakukan terbaik.Tahniah kepada FAM dan Pan-gon atas usaha anda membantu pasukan Harimau Malaya melangkah sejauh ini," katanya.

Selain itu, Hannah berkata, kementeriannya akan menyediakan tayang skrin besar membabitkan ketiga-tiga perlawanan Harimau Malaya di Stadium Nasional Bukit Jalil.

"Kita akan membuka Stadium Nasional Bukit Jalil untuk penyokong Harimau Malaya membabitkan ketiga-tiga perlawanan," katanya.

Skuad kendalian Pan-gon mencipta sensasi apabila menamatkan penantian 42 tahun layak ke Piala Asia secara merit.

Sebelum ini pasukan Harimau Malaya pernah menyertai kejohanan Piala Asia 2007 namun selaku tuan rumah bersama pasukan Thailand, Indonesia dan Vietnam.

Malaysia bakal memulakan aksi pertama Piala Asia menentang Jordan pada 16 Januari ini diikuti perlawanan menentang Bahrain pada 20 Januari.

Aksi yang ditunggu-tunggu ialah pertemuan Malaysia melawan gergasi Korea Selatan pada 25 Januari sekali gus menutup aksi kumpulan E Piala Asia 2023 Qatar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 5 January 2024 @ 4:08 PM