PAN Gon menjawab pertanyaan wartawan mengapa dia mengenakan sut kelabu. FOTO AFP
PAN Gon menjawab pertanyaan wartawan mengapa dia mengenakan sut kelabu. FOTO AFP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Jurulatih skuad Harimau Malaya Kim Pan-gon bersedia untuk 'pergi' meninggal pasukan menyebabkan dia mengenakan sut terakhir berwarna kelabu berbanding hitam putih yang biasa dipakainya sebelum ini.

Perkara itu diberitahu Pan-gon kepada pihak media selepas skuad Harimau Malaya mengikat Korea Selatan 3-3 dalam aksi terakhir Kumpulan E saingan Piala Asia 2023, malam tadi.

Nada gurauan itu dijawab jurulatih berasal dari Korea Selatan selepas wartawan bertanya mengapa dia mengenakan sut kelabu ketika aksi di Stadium Al Janoub itu dan bukan hitam putih yang kerap dipakai sebelum ini.

Namun, gurauan itu juga seakan sindiran susulan terdapat pihak membuat andaian mengenai masa depannya susulan kekalahan kepada Jordan (0-4) dan Bahrain (0-1) sebelum ini yang menyebabkan Harimau Malaya tersingkir daripada perebutan tiket ke pusingan 16 terakhir.

Malah, Pan-gon juga tampak beremosi pada sidang media selepas perlawanan dan mendakwa terdapat pihak yang menunggu dia gagal.

"Saya sedar dalam dua tahun lalu, kami melakukan tugas yang menakjubkan dengan keputusan 4-0, 5-0, 10-0. Setiap perlawanan kami menjaringkan gol. Saya tahu anda menunggu saya gagal.

"Anda menunggu dan saya mengetahuinya. Saya sedia. Tiada masalah. Anda mahu mengeluarkan saya, semalam," katanya.

Kekalahan kepada Jordan dan Bahrain mencetuskan kritikan peminat terhadap skuad Harimau Malaya yang kali pertama kembali beraksi di pentas Piala Asia selepas kali terakhir pada tahun 2007.

Bagaimanapun, detik mengecewakan itu ditutup dengan kejayaan Harimau Malaya mengikat pasukan gergasi Asia, Korea Selatan, sekali gus membawa pulang satu mata.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara memperbaiki pencapaian buruk pada tahun 2007 yang menyaksikan Harimau Malaya beraksi atas tiket selaku tuan rumah ketika itu tetapi gagal meraih sebarang mata.

Selain itu, Pan Gon menjelaskan fokus utama Harimau Malaya selepas ini adalah mempersiapkan pasukan menghadapi kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 pada Mac dan Jun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 26 January 2024 @ 9:34 AM