ANTARA aksi JDT bertemu Selangor. FOTO JOHOR Southern Tigers
ANTARA aksi JDT bertemu Selangor. FOTO JOHOR Southern Tigers
Rizar Mohd Noor


Iskandar Puteri: Johor Darul Ta'zim (JDT) kembali merampas tangga teratas liga selepas membenam Selangor FC 5-1 pada aksi tertunda saingan Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.

Dengan kemenangan itu, skuad kendalian Benjamin Mora mengekalkan rekod tanpa kalah dan menang enam perlawanan dan satu seri selepas baru mengharungi tujuh perlawanan untuk mengumpul 19 mata manakala pencabar terdekat, Sabah FC hanya ketinggalan satu mata.

Sebaik babak pertama bermula, JDT meraih gol awal pada minit ketiga selepas tindakan pantas Fernando Forestieri yang mengambil sepakan percuma menolak bola kepada Bergson Da Silva.

Pemain import dari Brazil itu tidak melengahkan umpanan itu apabila mengawal bola dengan kemas sebelum merembat bola kencang dari luar kotak penalti tepat ke penjuru kanan gawang menewaskan penjaga gol, Khairulazhan Khalid.

Tersentak dengan gol awal itu, anak didik Michael Feichtenbeiner cuba mencari ruang untuk menyusun serangan tapi masih belum mampu memecah benteng ampuh yang di kawal tiga serangkai tuan rumah, Shane Lowry, Shahrul Saad dan Matthew Davies.

Tuan rumah menghukum skuad yang bergelar Gergasi Merah apabila mencipta gol kedua pada perlawanan itu pada minit ke-25 selepas bola sepakan percuma Forestieri dari jarak 25 meter tepat menuju ke sudut kanan gawang dan gagal diselamatkan Khairulazhan.

JDT ternyata tidak mengendah kejayaaan Selangor FC menang besar ke atas Sarawak United FC, baru-baru sebaliknya menambah derita anak didik Feichtenbeiner pada minit ke-35 selepas bola umpanan Afiq Fazail mudah buat Leandro Velazquez melencongkan bola tepat ke penjuru kiri gol menewaskan Khairulazhan.

Selangor FC hampir mencipta gol pada minit akhit babak pertama selepas bola sepakan percuma Mukhairi Ajmal tepat kepada kapten Brendan Gan yang melonjak tinggi untuk menanduk bola tapi penjaga gol, Farizal Marlias pantas merebah badan menepis bola.

Bersambung babak kedua, skuad Harimau Selatan mendominasi permainan dan Forestieri hampir mencetak gol kedua peribadi pada minit ke-51 apabila bola sepakan percuma dari jarak 25 meter hampir menerjah jaring tapi kali ini Khairulazhan bersedia untuk menepis bola keluar.

Malang buat Khairulazhan apabila tertampan bola ke gawang sendiri pada minit ke-54 berpunca daripada bola sepakan deras Bergson yang sememangnya mahu melakukan sepakan lintang di posisi sayak kanan tapi penjaga gol tuan pelawat itu gagal menepis bola sekali gus menyaksikan JDT selesa dengan jaringan 4-0.

Akhirnya, pelawat mencipta gol pertama pada minit ke-82 selepas bola lorongan Aliff Haiqal Lokman Hakim Lau membuka ruang buat pemain gantian Mohd Nor Hakim Hassan menyusup masuk ke dalam kotak penalti dan merembat bola leret menewaskan Farizal.

JDT jelas tidak puas dengan empat gol yang dihasilkan sebaliknya memastikan kemenangan bergaya pada minit akhir perlawanan selepas pemain gantian Mahamadou Sumareh menanduk masuk bola sepakan lintang Safawi Rasid dan kedudukan 5-1 kekal milik skuad Harimau Selatan sehingga tamat perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Jun 2022 @ 10:17 PM