REAKSI barisan pemain Milan selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
REAKSI barisan pemain Milan selepas tamat perlawanan. FOTO Reuters
Reuters

Milan: Pengurus AC Milan, Stefano Pioli kekal optimis walaupun anak buahnya tewas 0-2 pada aksi separuh akhir pertama Liga Juara-Juara di tangan Inter, awal pagi tadi.

Inter meraih dua gol awal menerusi Edin Dzeko dan Henrikh Mkhitaryan sekali gus mempunyai kelebihan menjelang aksi timbal balik di San Siro, 17 Mei ini.

"Realitinya ialah Inter beraksi lebih baik pada separuh masa pertama, menjaringkan dua gol, manakala Milan menunjukkan peningkatan pada separuh masa kedua tetapi gagal menjaringkan gol," kata Pioli kepada Amazon Prime Italia.

Kekalahan kepada Inter adalah yang ketiga dihadapi Milan dalam tempoh semusim, sesuatu yang tidak pernah mereka alami sejak kempen 1994-95.

Milan memperoleh kemenangan 3-2 ke atas Inter dalam Serie A pada September lalu sebelum mengalami kekalahan berturut-turut, 0-3 dalam saingan Piala Super Itali dan 0-1 di Serie A.

Pioli, bagaimanapun, memuji semangat pasukannya ketika mereka berusaha untuk kekal di landasan bagi memenangi Piala Eropah itu buat kali kelapan, 16 tahun selepas kejayaan terakhir mereka pada 2007.

"Kami mempunyai peluang pada separuh masa kedua, jadi pada perlawanan kedua, kami memerlukan lebih kualiti dan sikap yang lebih agresif," katanya.

Penyerang, Rafael Leao terlepas beraksi perlawanan itu kerana mengalami kecederaan, tetapi Pioli percaya pemain antarabangsa Portugal itu akan kembali cergas untuk perlawanan kedua.

"Dia tidak berada dalam situasi mampu beraksi hari ini. Ada enam hari lagi dan kami berharap dia akan bersedia," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 Mei 2023 @ 8:15 AM