MESSIAS (kanan) meraikan jaringannya bersama Leao. FOTO AFP
MESSIAS (kanan) meraikan jaringannya bersama Leao. FOTO AFP
AFP

Milan: AC Milan akan kekal di puncak Serie A minggu ini apabila melakar kemenangan 2-0 ke atas pasukan sedang bergelut, Genoa selepas Inter Milan merampas seketika kedudukan teratas sebaik menewaskan Spezia 3-1.

Milan, yang dilaporkan akan dijual kepada firma pelaburan berpangkalan di Bahrain, Investcorp, tetap tenang meskipun kehilangan seketika takhta liga sebelum sepak mula di hadapan lebih 70,000 penyokong di San Siro.

Sepakan voli Leao pada minit ke-11 hasil hantaran Pierre Kalulu dan jaringan Junior Messias ketika berbaki tiga minit permainan sudah memadai untuk pasukan Stefano Pioli mengekalkan kelebihan dua mata berbanding seteru setempat, Inter.

"Semakin banyak perlawanan yang kami harungi, semakin penting setiap perlawanan itu.

"Kami tahu perlawanan hari ini tidak mudah tetapi pemain mempamerkan prestasi terbaik untuk mendapatkan tiga mata yang membuatkan kami mahu terus berjuang," Messias.

Pioli pula berkata: "Kami perlu mengubah situasi tekanan dengan aura positif kerana kami memberi cabaran kepada matlamat di mana jika bekerjasama sebagai satu pasukan, tiada sesiapa mampu menghalangnya."

Milan akan berdepan Inter pada separuh akhir kedua Piala Itali Rabu ini sebelum bertandang ke Rom untuk menentang Lazio ketika perbincangan mengenai pengambilalihan kelab itu semakin hangat diperkatakan.

Baik Milan atau Investcorp enggan mengulas lanjut berhubung laporan bahawa kelab itu akan dijual oleh dana pelaburan Amerika, Elliott pada harga sekitar 1 bilion euro (RM4.5 bilion).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 April 2022 @ 7:34 AM