DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Hairul Anuar Rahim
DATUK Hamidin Mohd Amin. FOTO Hairul Anuar Rahim
Zulkarnain Azman


Kuala Lumpur: Hasrat peminat bola sepak tempatan untuk menikmati perlawanan bola sepak dengan dengan mutu pengadilan berkualiti mungkin tercapai tidak lama lagi apabila khidmat pengadil dari luar negara mungkin akan digunakan dalam kancah Liga Malaysia (Liga M).

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, tindakan itu dibuat bukanlah mahu menidakkan kemampuan pengadil tempatan, sebaliknya ia dilakukan sebagai langkah untuk mengukuhkan lagi institusi pengadilan dalam arena bola sepak tanah air.

"Saya sudah berbincang dengan MFL (Liga Bola Sepak Malaysia), dengan Datuk Ghani bahawa mereka telah menilai dari segi bajet dan kepentingan bahawa kita kemungkinan akan bawa pengadil luar untuk mengadili beberapa perlawanan Liga M.

"Tapi kena ingat, kita panggil pengadil luar tak bermaksud pengadil kita tak bagus sebab orang luar juga boleh buat kesilapan kerana mereka manusia.

"Tapi kita akan cuba pelbagaikan untuk pastikan FAM dan MFL ini bukan ditakuk lama tapi untuk meningkatkan lagi dari masa ke semasa," katanya.

Sekiranya benar hasrat FAM dan MFL membawa pengadil luar mengadili perlawanan Liga M, ini bukanlah yang pertama memandangkan sebelum ini pada 2019 badan induk bola sepak negara itu pernah menjemput pengadil Jepun, Takuto Okabe untuk mengadili pertemuan Perak dan Kedah bersama-sama rakan senegaranya, Akane Yagi dan Osamu Nomura.

Dalam pada itu, Hamidin turut memberitahu perkembangan terkni penggunaan video bantuan pengadil (VAR) sambil memberitahu pengadil tempatan perlu melalui kursus selama enam bulan sebelum sistem itu digunakan di Malaysia.

"Kami berharap untuk bermula pada akhir musim ini," katanya.

Terdahulu, FAM dan MFL memberitahu pelaksanaan pertama VAR dalam Liga M boleh digunakan ketika perlawanan akhir Piala FA dan Piala Malaysia.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 2 Mei 2023 @ 1:08 PM