PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh (tengah) ketika sidang media di Wisma FAM. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
PENGERUSI Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bola Sepak Malaysia, Subkhiddin Mohd Salleh (tengah) ketika sidang media di Wisma FAM. FOTO Muhd Zaaba Zakeria
Syafiq Aznan


KELANA JAYA: Cadangan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) untuk membentuk syarikat pengurusan bebas pengadil profesional dikhuatiri akan menganaktirikan dan menafikan kemampuan pengadil tempatan.

Kebimbangan itu disuarakan Pengerusi Jawatankuasa Pengadil Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Subkhiddin Mohd Salleh namun menegaskan beliau menyokong penuh sebarang usaha untuk meningkatkan mutu pengadilan dalam kancah bola sepak tempatan.

Jelasnya, beliau enggan penubuhan badan terbabit dijadikan platform kepada penggunaan pengadil import secara sepenuhnya sekali gus mengetepikan pengadil tempatan.

“Saya tiada masalah terhadap sebarang penambahbaikan kepada mutu pengadilan dan sedia bekerjasama. Cuma saya tidak mahu ia dijadikan batu loncatan untuk membawa pengadil import dan mengasingkan pengadil tempatan.

“Itu yang menjadi kebimbangan saya. Jika ada kerjasama yang baik, saya menyokong dan pastikan ia benar-benar adil supaya pengadil tempatan dapat meningkatkan mutu mereka ke tahap yang lebih tinggi,” katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya, hari ini.

Jelas Subkhiddin, pergantungan penuh terhadap pengadil import mampu untuk ‘membunuh’ kemampuan pengadil tempatan sekali gus menjejaskan kualiti pengadilan ketika mengadili pertandingan di peringkat antarabangsa.

“Saya mengambil senario di sebuah negara Timur Tengah di mana mereka menggunakan sepenuhnya pengadil import sehinggalah saingan divisyen tiga mereka.

“Jadi, apabila pengadil dari negara itu mengadili pertandingan antarabangsa, kita dapat lihat mereka sukar memberikan persembahan yang baik kerana kurangnya latihan memandangkan saingan liga mereka dikawal pengadil luar,” katanya.

Terdahulu, badan pengendali liga itu bakal membentuk sebuah syarikat pengurusan bebas pengadil profesional sebagai inisiatif menambah baik kualiti dan mutu pengadilan dalam perlawanan bola sepak Liga Malaysia (Liga M) pada masa depan.

Menerusi satu kenyataannya, MFL menjelaskan, idea untuk membentuk syarikat itu adalah berdasarkan sebuah kajian kes iaitu ‘Professional Game Match Officials Limited’ (PGMOL) yang digunakan dalam pengurusan pengadilan di beberapa liga bola sepak dunia.

PGMOL digunakan dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) dan struktur yang hampir sama turut dipakai dalam dua liga di Asia iaitu Liga Jepun dan Liga Korea.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 September 2018 @ 7:31 PM