ENAM pengadil dipilih ke Dammam, Arab Saudi. -FOTO FAM
ENAM pengadil dipilih ke Dammam, Arab Saudi. -FOTO FAM
Oleh Firdaus Hashim


Kuala Lumpur: Pemilihan enam pengadil bertuah menjalani latihan di Arab Saudi bakal meningkatkan lagi kualiti dan mutu pengadil tempatan.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, enam pengadil muda negara yang bakal berguru di Dammam, Arab Saudi bermula esok hingga 27 Oktober ini diharapkan dapat memartabatkan lagi mutu pengadilan.

Katanya, ilmu yang bakal diraih nanti bakal memberi manfaat yang berguna khususnya apabila mengadili perlawanan dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

"Semoga ilmu yang diperoleh di Arab Saudi ini dapat memberi manfaat dalam tugasan mereka terutama dalam memartabatkan lagi mutu pengadilan bola sepak negara," kata Hamidin.

Mereka terdiri daripada empat pengadil iaitu, Tuan Mohd Yaasin Tuan Mohd Hanafiah, Muhammad Izzul Fikri Kamaruzaman, Mohamad Kamil Zakaria Ismail, Muhammad Munir Mohd Izam serta dua penolong pengadil, Kesava Raj S Neelamagan dan Mohd Shafiq Ahmad Said.

Enam pengadil ini turut akan menjalani kursus tambahan VAR dan latihan praktikal di Arab Saudi.

Mereka ini dipilih berdasarkan faktor prestasi yang baik dalam Liga M serta menunjukkan komitmen yang baik sepanjang latihan VAR di Malaysia sekali gus dilihat berpotensi melebarkan sayap ke persada lebih tinggi.

Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM merangkap Timbalan Presiden FAM, Datuk S Sivasundaram turut menyokong usaha ini dengan menyatakan FAM akan terus memastikan lebih ramai pengadil muda diberi latihan dan pendedahan di peringkat antarabangsa.

FAM juga ketika ini sedang rancak menjalankan latihan VAR bagi 40 pengadil sebagai persediaan menghadapi Liga M 2024/2025.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 Oktober 2023 @ 2:48 PM