REAKSI Arteta selepas tamat perlawanan menentang City.
REAKSI Arteta selepas tamat perlawanan menentang City.
Reuters

Manchester: Arsenal kekal mendahului Liga Perdana Inggeris (EPL) tetapi raut wajah pengurus Mikel Arteta selepas tewas 1-4 di Manchester City awal pagi tadi seperti akur peluang meraih gelaran sudah berakhir.

Skuadnya gagal mengekang asakan menggila City di Eithad yang menyaksikan Kevin De Bruyne menjaringkan dua gol dengan John Stones dan Erling Haaland turut menemui sasaran.

Juara bertahan City akan menduduki tangga teratas jika mereka menewaskan Fulham hujung minggu ini selepas hampir keseluruhan musim di belakang Arsenal.

"Saya tak tahu apa lagi diperlukan," kata Arteta kepada wartawan ketika ditanya jika Arsenal wajib menang baki lima perlawanan untuk menghidupkan sisa peluang menjuarai liga sejak 2004.

"Pastinya kami perlu memulihkan semula semangat pemain kerana mereka menderita malam ini.

"Kami perlu melakukan apa yang kami lakukan sebelum ini dan dapatkan kemenangan semula."

Arsenal kehilangan momentum apabila seri tiga perlawanan berturut-turut sebelum tewas di Etihad dan mereka terasa kehilangan tonggak pertahanan William Saliba yang mengalami kecederaan.

"Semua aspek asas pada 30 minit pertama ketika menentang pasukan handal tidak kami lakukan dan kami dihukum," kata Arteta. "Kami menentang lawan sangat hebat. Kami juga hebat tetapi hari ini kami tidak setanding mereka."

"Malam ini sangat sukar tetapi kami perlu bangkit dan melihatnya dengan gambaran yang lebih besar. Faktanya kami mampu bersaing sengit dengan City dalam carta liga memang menakjubkan."

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 April 2023 @ 8:06 AM