SEBAHAGIAN aksi Kelantan United bertemu Penang FC. FOTO Penang FC
SEBAHAGIAN aksi Kelantan United bertemu Penang FC. FOTO Penang FC
Siti Aminah Mohd Yusof


Georgetown: Penolong ketua jurulatih Kelantan United FC (KUFC), Nazrulerwan Makmor mengakui bukan mudah mengharungi tujuh perlawanan berturut-turut di tempat lawan termasuk selepas kecundang 2-0 pada aksi menentang Penang FC di Stadium Bandaraya, semalam.

Beliau menyifatkan anak buahnya berada dalam keletihan dengan jarak lokasi perlawanan yang agak jauh menyebabkan pasukannya banyak menghabiskan masa dalam perjalanan berbanding fokus kepada sesi latihan dan pemulihan.

Lebih memburukkan keadaan beberapa pemain utama seperti Fauzan Fauzi dan Jose Porteria yang tidak dapat diturunkan kerana masalah kecederaan turut merencatkan persembahan skuad Kijang Hijau.

"Bukan saya nak bagi alasan tapi kecederaan datang kesan tidak cukup rehat untuk pulih sebab kami 'travel' tiga hari dari Sabah ke Pulau Pinang sebelum itu kami main di Kuching jadi kami beranggapan pemain penat.

"Terkini satu-satunya pemain tengah import Morgaro Lima Gomis yang diturunkan dalam kesebelasan utama turut dikeluarkan pada minit awal babak pertama dan ini mencacatkan permainan kita.

"Kalau tengok dalam senarai kita cuma daftar 17 pemain sahaja sebab ada yang cedera, demam dan masalah kesihatan lain jadi kami kena terima hakikat kekalahan hari ini (semalam)," katanya kepada pemberita selepas perlawanan itu.

Nazrulerwan bagaimanapun mengakui pasukannya sendiri turut mempunyai banyak kelemahan terutamanya membabitkan jentera serangan yang menyebabkan mereka sukar mencetak gol.

Jurulatih berusia 42 tahun itu bagaimanapun bangga dengan kesungguhan anak buahnya yang berusaha sedaya upaya menutup peluang kem tuan rumah untuk merekodkan jaringan yang lebih besar.

KUFC yang kekal terperosok di dasar Liga Super sekali lagi dijadual bertandang di gelanggang lawan bertemu pendahulu liga, Johor Darul Ta'zim FC pada 26 April ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 20 April 2023 @ 3:38 PM