SKUAD Harimau Malaya akan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman di Kuala Terengganu, Jun depan. FOTO ARKIB NSTP
SKUAD Harimau Malaya akan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman di Kuala Terengganu, Jun depan. FOTO ARKIB NSTP
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong bola sepak di Pantai Timur tidak perlu lagi mengembara ratusan kilometer untuk menyokong pasukan kebangsaan apabila Harimau Malaya akan mempamerkan taring mereka di Terengganu pada aksi persahabatan Jun ini.

Berita gembira itu disahkan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin apabila aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman akan berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

"Saya mahu umumkan dua aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon dan Yaman pada Jun nanti akan berlangsung di Kuala Terengganu.

"Ini bagi memberi ruang kepada peminat di Pantai Timur untuk melihat skuad kebangsaan beraksi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas lawatan Ketua Kontinjen (CDM) Sukan Olimpik Paris 2024 ke Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.

Anak buah Kim Pan-gon berpeluang menguji Kepulauan Solomon yang berada di ranking ke-136 dunia dan Yaman (154) sebagai persiapan menghadapi Piala Asia 2023.

Malah, aksi itu menjadi medan untuk skuad kebangsaan memperbaiki ranking ke kedudukan lebih baik apabila ketika ini menghuni kedudukan ke-138 dunia.

Skuad Harimau Malaya sebelum ini mengharungi Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Turkmenistan pada 23 Mac sebelum menentang Hong Kong bagi aksi kedua 28 Mac lalu dengan kedua-duanya di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, Johor Bahru.

Aksi persahabatan itu sebahagian persiapan untuk menghadapi Piala Asia 2023 yang akan berlangsung di Qatar, Januari tahun depan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 18 April 2023 @ 5:20 PM