SKUAD Harimau Malaya bakal diuji  Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sebagai persiapan hadapi Piala Asia 2023.
SKUAD Harimau Malaya bakal diuji Kepulauan Solomon dan Papua New Guinea sebagai persiapan hadapi Piala Asia 2023.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Penyokong Harimau Malaya di Pantai Timur jelas sekali tidak sabar menyaksikan skuad kebangsaan beraksi apabila hampir 5,000 tiket untuk aksi persahabatan menentang Kepulauan Solomon pada Rabu depan sudah berjaya dijual setakat ini.

Situasi terbabit disahkan Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman yang melihat aksi persahabatan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak sangat positif dan dijangka terus meningkat.

Kata Noor Azman, situasi berbeza ketika skuad Harimau Malaya melakukan 'jelajah' di Johor pada Mac lalu yang mana kehadiran penonton agak berkurangan disebabkan beberapa faktor.

"Bagi aksi persahabatan kali ini, kita melakukan pelbagai perancangan dengan mengadakan festival di pekarangan stadium yang disokong FitTerengganu (kerajaan tempatan).

"Antaranya aksi persahabatan babitkan bekas pemain Terengganu dan bekas pemain skuad kebangsaan di padang sintetik, pameran serta pertandingan bola sepak bawah umur.

"Saya harap penyokong di sekitar Pantai Timur dapat segera beli tiket kerana buat masa ini hampir 5,000 tiket sudah dijual dengan stadium berkenaan hanya memiliki kapasiti kurang 30,000.

"Apa yang pasti, saya nampak sambutan agak memberangsangkan dengan adanya festival berbanding perlawanan persahabatan di Johor Mac lalu yang dilihat berkurangan mungkin kerana dianjurkan pada Ramadan," katanya.

Mengikut rekod, pada aksi persahabatan di Stadium Sultan Ibrahim Mac lalu, skuad Harimau Malaya kendalian Kim Pan-gon berjaya mencatat kemenangan 1-0 ke atas Turkmenistan dan Hong Kong (2-0).

Selepas bertemu Kepulauan Solomon, skuad negara yang sedang melakukan persiapan untuk mengharungi kejohanan Piala Asia 2023 akan menentang Papua New Guinea di venue sama pada 20 Jun nanti.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 9 Jun 2023 @ 4:18 PM