PAN-gon dan barisan kejurulatihan perlu menurunkan barisan terbaik ketika menentang China dan Syria dalam aksi persahabatan.
PAN-gon dan barisan kejurulatihan perlu menurunkan barisan terbaik ketika menentang China dan Syria dalam aksi persahabatan.
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Skuad Harimau Malaya diingatkan tidak lagi melakukan 'uji kaji' pemain apabila berdepan dua pasukan di kedudukan lebih tinggi dalam ranking Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa) pada aksi persahabatan antarabangsa, September ini.

Legenda bola sepak negara Datuk Jamal Nasir berkata, skuad Harimau Malaya tidak perlu lagi 'terkial-kial' menguji pemain baharu dalam usaha membentuk pasukan mantap untuk beraksi di pentas Piala Asia.

Beliau berkata, perlawanan persahabatan menentang China dan Syria seharusnya dimanfaat dengan menguji barisan terbaik skuad Harimau Malaya sekali gus mempunyai masa memperbaiki setiap kelemahan terutama membabitkan aspek pemilihan pemain.

"Saya lihat perlawanan persahabatan menentang China dan Syria bukan lagi medan eksperimen iaitu kita masih lagi mahu mencari-cari pemain terbaik mewakili negara untuk dibawa ke kejohanan Piala Asia.

"Sepatutnya, barisan kejurulatihan sudah ada barisan pemain terbaik dan hanya menukar individu lain jika tidak sesuai atau mengalami kecederaan.

"Kita bukan lagi bertemu lawan setaraf namun mereka berada di kedudukan lebih baik. Oleh itu, kita akan tahu sejauh mana kekuatan sebenar Harimau Malaya," katanya, ketika dihubungi Arena Metro.

Terdahulu, Arena Metro melaporkan skuad bola sepak kebangsaan akan berdepan dua pasukan di kedudukan lebih tinggi pada aksi persahabatan antarabangsa, September ini.

Perkara diumumkan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dengan Harimau Malaya akan menentang pasukan ranking ke-94 dunia, Syria dan China yang menghuni tangga ke-80.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman dalam kenyataannya semalam, menjelaskan anak buah Kim Pan Gon akan mengharungi kedua-dua aksi antarabangsa itu di Chengdu, China.

Beliau berkata, Harimau Malaya yang kini menghuni tangga ke-136 dunia terlebih dahulu akan menentang Syria pada 6 September sebelum berdepan China, 9 September.

Sebelum ini, beberapa pihak menyifatkan sudah tiba masanya untuk Harimau Malaya mengadakan aksi persahabatan dengan pasukan di ranking lebih tinggi sebagai ujian terbaik sebelum menghadapi pusingan akhir Piala Asia 2023 di Qatar, Januari tahun depan.

Untuk rekod, anak buah Pan Gon meraih kemenangan bergaya apabila menewaskan Kepulauan Solomon 4-1 dan membelasah Papua New Guinea 10-0 dalam aksi persahabatan yang berlangsung di Terengganu pada Jun lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 1 Ogos 2023 @ 8:22 PM