PEMINAT bola sepak di Pantai Timur sambut baik pemillihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai gelanggang aksi persahabatan Harimau Malaya. FOTO Ihsan TFC
PEMINAT bola sepak di Pantai Timur sambut baik pemillihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin sebagai gelanggang aksi persahabatan Harimau Malaya. FOTO Ihsan TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Kelab Penyokong Bolasepak Terengganu FC menyifatkan pemillihan Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak sebagai venue aksi persahabatan antarabangsa skuad negara adalah hadiah hari raya Aidilfitri buat peminat seluruh Pantai Timur.

Presidennya, Mohd Isa Che Ariffin berkata, penghormatan yang diberi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) itu juga membuktikan stadium yang pernah terpalit dengan insiden runtuhan bumbung pada 2009 itu mendapat pengiktirafan daripada badan induk bola sepak negara.

Jelasnya, berita gembira itu bakal disambut dengan sokongan padu peminat setia dan akan memenuhi stadium bagi menyuntik semangat anak buah jurulatih Kim Pan-gon beraksi pada dua aksi persahabatan itu.

Beliau berkata, sejarah pertama yang bakal tercipta di depan mata itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja selepas sebelum ini terpaksa mengharungi perjalanan yang jauh lebih 1,000 kilometer pergi dan balik untuk menyaksikan perlawanan di Lembah Klang.

"Alhamdulillah ini berita gembira dan boleh dikatakan hadiah hari raya Aidilfitri buat kami khususnya peminat setia di Terengganu dan Pantai Timur apabila venue Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin dipilih sebagai gelanggang Harimau Malaya bagi dua perlawanan persahabatan antarabangsa bulan depan.

"Bagi kami peminat serta penyokong Harimau Malaya yang berada di Pantai Timur pasti tidak akan melepaskan peluang untuk memberi sokongan padu kepada pasukan beraksi lebih-lebih lagi tidak perlu menempuhi perjalanan yang agak jauh.

"Sehubungan dengan itu, kami juga menyeru semua penyokong dari Kelantan dan Pahang dapat hadir beramai-ramai ke stadium bagi memberi sokongan serta semangat kepada pemain apatah lagi harga tiket pada perlawanan tersebut hanya berharga RM30 sahaja iaitu boleh dikatakan harga Rahmah.

"Kami harap ia bukan perlawanan pertama dan terakhir di stadium kami, sebaliknya pihak FAM boleh adakan lagi perlawanan bukan sahaja membabitkan 'pertempuran' antarabangsa tapi mungkin perlawanan aksi Liga Malaysia (Liga M) seperti final Piala FA dan sebagainya," katanya ketika dihubungi.

Skuad Harimau Malaya bakal berdepan pasukan diranking ke-136 dunia, Kepulauan Solomon pada 15 Jun dan Yaman yang menduduki ranking ke-154 pada 20 Jun.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 21 April 2023 @ 3:25 PM