JAFRI (dua dari kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol sulung Sabah FC menerusi sepakan penalti. FOTO FB SABAH FC
JAFRI (dua dari kiri) dipeluk rakan sepasukan selepas menjaringkan gol sulung Sabah FC menerusi sepakan penalti. FOTO FB SABAH FC
Syazwan Msar


Shah Alam: Kelantan FC mencipta sejarah tersendiri apabila dibolosi 102 gol dalam 23 aksi Liga Super setakat ini, selepas tewas 0-7 kepada Sabah FC pada perlawanan di Stadium UiTM, malam ini.

Jelas skuad kendalian Angel Alfredo Vera terus menjadi mangsa belasahan pasukan Liga Super dengan terbaharu mudah diratah Sabah FC hingga dibolosi tujuh gol.

Sabah yang dibimbing Datuk Ong Kim Swee mendahului seawal minit ke-25 menerusi sepakan penalti yang disudahi Jafri Firdaus Chew.

Sabah FC yang kehilangan empat tonggak utama kerana beraksi pada perlawanan kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027 tidak menghadapi masalah untuk menambah dua lagi gol menerusi Farhan Roslan dan Rizal Ghazali, sekali gus menjadikan kedudukan 3-0 pada babak pertama.

Sebaik bermula babak kedua, Sabah FC tidak lagi menoleh kebelakangan apabila Irfan Fazail, Telmo Castanheira, Ramon Machado dan S Kumaarahan terus menambah derita Kelantan FC untuk kedudukan 7-0.

Situasi terbabit menyebabkan Alfredo meninggalkan bangku simpanan walaupun perlawanan belum lagi tamat kerana dipercayai terlalu kecewa pasukannya terus menjadi mangsa belasahan.

Kedudukan kekal hingga tamat perlawanan menyaksikan Kelantan FC mencipta rekod tersendiri apabila dibolosi 102 gol walaupun saingan Liga Super masih lagi berbaki dua perlawanan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 November 2023 @ 10:18 PM