DARREN Lok (tengah) bersama rakan sepasukan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi selepas beraksi pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2026. FOTO BERNAMA
DARREN Lok (tengah) bersama rakan sepasukan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi selepas beraksi pada kempen kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2026. FOTO BERNAMA
Syazwan Msar


Kuala Lumpur: Pengendali Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee mengharapkan sentuhan pemain kebangsaan dalam memperkuatkan pasukan pada pertemuan menentang Terengganu FC di stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, malam esok.

Kim Swee berkata, beberapa tonggak utama seperti Amri Yahyah dan Gabriel Peres mengalami kecederaan sekali gus menganggu persediaan pasukan dalam membariskan pemain terbaik.

Pengendali berusia 53 tahun berkata, kepulangan tiga tonggak utama iaitu Dominic Tan, Darren Lok dan Stuart Wilkin daripada tugasan skuad kebangsaan diharap mampu membantu Sabah FC memperoleh kemenangan dalam mengukuhkan kedudukan dalam Liga Super.

"Amri dan Gabriel mengalami kecederaan sekali gus mengharapkan Dominic, Darren dan Stuart untuk beraksi bersama pasukan. Namun, kita kena lihat situasi mereka kerana bimbang terlalu letih kerana kerap beraksi baru-baru ini.

"Situasi terbabit menyebabkan saya perlu melihat pemain bersesuaian untuk diturunkan menentang Terengganu FC esok(hari ini paper). Kita baru saja menentang Kelantan FC dan esok sudah pula perlu bertandang ke Terengganu untuk mengharungi satu lagi perlawanan.

"Saya mengharapkan dapat menurunkan kesebelasan terbaik bagi memastikan mampu mengekalkan momentum kemenangan selepas menumpaskan Kelantan FC 7-0 tempoh hari," katanya.

Mengikut rekod, ketika ini Sabah menghuni tangga keempat Liga Super dengan memungut 45 mata dengan dibezakan hanya satu mata dengan Sri Pahang FC dikedudukan kelima.

Skuad The Rhinos baru-baru ini mendapat tonik tambahan apabila membelasah pasukan di tangga tercorot Liga Super iaitu Kelantan FC 7-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium UiTM.

Selain itu, Kim Swee mengakui, pasukannya bakal mengharungi perlawanan sukar apabila Terengganu FC menurunkan kesebelasan terbaik mereka dalam usaha memperbaiki kedudukan dalam Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 November 2023 @ 3:42 PM