Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Ketumpulan penyudah yang serius terus menghantui naib juara Piala FA musim lalu, Terengganu FC (TFC) selepas gagal meledak sebarang jaringan dalam tiga perlawanan awal.

Lebih parah, skuad Penyu yang menamatkan saingan Liga Super di tangga kedua musim lalu, kini menghuni di kedudukan tercorot liga dengan berkongsi satu mata bersama Kelantan United FC (KUFC) yang berada di tangga ke-13.

Situasi ini diakui jurulatihnya, Tomislav Steinbrukner yang melihat kegagalan penggempur gandingan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn dan pemain kelahiran Croatia, Ivan Mamut menyebabkan pasukannya gagal merakam kemenangan dalam tiga perlawanan berkenaan.

Malah jurulatih kelahiran Croatia itu juga bagaikan hilang kata-kata selepas anak buahnya gagal meledak gol walaupun mempunyai beberapa peluang terhidang ketika bertemu Kuala Lumpur City FC (KL City FC) di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam tadi.

Bagaimanapun jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu tidak mahu menoleh ke belakang, sebaliknya berazam untuk memperbaiki kelemahan yang ada sebelum berdepan dengan PDRM FC pada hujung minggu ini.

"Pada malam ini (semalam) kami tidak begitu gembira kerana hanya mengutip satu mata sahaja, pemain kami mempunyai beberapa peluang untuk menjaringkan gol ketika berdepan lawan (KL City) terutama menerusi Adisak dan Mamut, namun dua penyerang itu gagal melaksanakan tugas dengan baik selepas tidak berjaya menjaringkan gol.

"Tiga perlawanan tanpa sebarang jaringan sudah tentu ianya bermasalah dan kami begitu terkesan, sasaran setiap pasukan sudah pasti untuk menjaringkan gol, tanpa jaringan kita tidak boleh untuk mengutip tiga mata.

"Namun saya perlu melihat ke hadapan bagi mengatasi masalah ini terutama berdepan dengan PDRM nanti, kami mempunyai Jordan Mintah selain mengharapkan pemain tengah, Habib Haroon cergas dan bersedia diturunkan untuk memperbaiki kelemahan pasukan," katanya ketika ditemui selepas berakhir perlawanan menentang KL City FC malam tadi yang berakhir dengan keputusan 0-0.

Dalam perlawanan itu, sekurang-kurangnya lima peluang terhidang yang dimiliki Mamut dan Adisak gagal diterjemahkan dengan jaringan sekali gus membuatkan lebih 11,500 peminat yang hadir kecewa selepas dua aksi terdahulu berakhir dengan kekalahan 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Ketika ditanya adakah kekurangan latihan selain belum serasi menyebabkan jentera serangannya tumpul, Steinbrukner menjelaskan latihan sentiasa diadakan bagi memantapkan lagi pasukan.

"Kami adakan latihan hampir setiap hari termasuk latihan penyudah untuk menjaringkan gol, mereka sangat baik ketika latihan, tapi ketika perlawanan ianya tidak sama dan situasi ini perlu ditangani segera," kata jurulatih yang musim lalu menjawat jawatan Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Mac 2023 @ 12:17 PM