Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Masih terlalu awal untuk menilai prestasi keseluruhan pasukan biarpun belum lagi merakam kemenangan dan jaringan selepas tiga perlawanan, bagaimanapun ada juga nada kebimbangan.

Demikian reaksi Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh ketika ditanya mengenai prestasi skuad Penyu yang masih belum merakam kemenangan dan sebarang jaringan setakat ini.

Jelas Ab Rasid, beliau percaya dan yakin skuad kendalian jurulatih baharu kelahiran Croatia, Tomislav Steinbrukner bakal bangkit untuk memburu kemenangan dan membuka 'akaun' jaringan dalam aksi seterusnya.

Pada masa sama beliau juga sudah memanggil dan bersemuka dengan barisan kejurulatihan dan pemain bagi memastikan mereka mampu menggalas tugas dengan lebih berkesan walaupun sudah ada peningkatan.

"Kita sentiasa berusaha, kita percaya pada pelan yang dibuat bermula dengan Piala Sumbangsih lagi di tempat lawan menentang Johor Darul Ta'zim (JDT), pemain memberikan tentangan yang hebat.

"Kita boleh menilai keupayaan pasukan kita dalam perlawanan itu, daripada segi corak permainan, saya bukan mahu mengulas, tapi semua boleh lihat dengan mata sendiri gol jaringan pihak lawan bagaimana mereka jelmakan.

"Berkenaan tanpa jaringan dan kemenangan setakat ini, kita mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, tapi belum berjaya lagi, jadi dengan masa berbaki beberapa hari sahaja lagi sebelum berdepan PDRM FC, barisan kejurulatihan sedang giat berusaha," katanya ketika ditemui di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, di Gong Badak, semalam.

Mengulas kegagalan Ivan Mamut dan Adisak Kraisorn menjaringkan gol pertama musim ini, beliau percaya pemain import itu mampu 'mengganas' dan mencetak namanya sebagai penjaring selepas ini.

"Tahun lalu kita bermula dengan kekalahan 3- 0 kepada Petaling Jaya City FC, kemudian tewas lagi pada aksi kedua menentang JDT, tapi di tempat kita baharu memperoleh kemenangan, saya yakin dan percaya masanya akan tiba begitu juga kepada dua penyerang itu.

"Lagipun dalam satu pasukan semua pemain boleh menjaringkan gol bukan hanya mengharapkan Adisak dan Mamut, kita ada Sony Norde, mungkin Domogoj Pusic ataupun mana-mana pemain boleh menjaringkan gol.

"Apa yang penting semua pemain perlu bekerjasama, sokongan padu daripada peminat selain doa agar pasukan menemui rentak kemenangan serta jaringan dan seterusnya memperbaiki kedudukan di tangga tercorot liga, kita bimbang juga situasi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 Mac 2023 @ 3:07 PM
AB Rasid (kanan) semasa sidang media pada Majlis menandatangani kontrak penajaan TPK King Legacy selaku penaja minuman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
AB Rasid (kanan) semasa sidang media pada Majlis menandatangani kontrak penajaan TPK King Legacy selaku penaja minuman di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI