PEMAIN Terengganu FC, Adisak Kraisorn (dua kanan) dihalang pemain Kuala Lumpur City FC, Sebastian Avanzini (dua kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
PEMAIN Terengganu FC, Adisak Kraisorn (dua kanan) dihalang pemain Kuala Lumpur City FC, Sebastian Avanzini (dua kiri) pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Impian Terengganu FC (TFC) untuk melakar kemenangan pertama pada musim ini tidak kesampaian selepas terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi yang berlangsung di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam ini.

Lebih malang skuad kendalian Tomislav Steinbrukner yang membariskan enam tonggak import baharu musim ini termasuk dua penyerang gagal meledak sebarang jaringan selepas tiga perlawanan.

Pada perlawanan itu, TFC yang terdesak untuk merakam kemenangan sulung bermula dengan percubaan pertama menerusi penyerang kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn pada minit keenam, namun rembatannya hasil hantaran Liridon Krasniqi berjaya dihalang penjaga gol, Kevin Mendoza.

Dua minit berselang, kapten skuad The City Boys, Paulo Josue berjaya menjaringkan gol hasil umpanan Herlison Caion, bagaimanapun jaringan itu dibatalkan pengadil, Mohammad Zamzaidi Katimin kerana pemain itu dikesan terlebih dahulu berada dalam posisi ofsaid.

Pada minit ke-14, Caion berpeluang untuk mencetak namanya sebagai penjaring gol, tapi rembatannya dari dalam kotak penalti tersasar di atas palang gol sekali gus terselamat kubu tuan rumah yang dikawal Rahadiazli Rahalim.

Selepas dua percubaan lawan itu, skuad Penyu mendapat empat peluang terbaik pada minit ke-18, 24, 30 dan 37, namun penyerang kelahiran Croatia, Ivan Mamut dan Adisak masih gagal menemui sentuhan jaringan.

Ketumpulan jentera serangan skuad Penyu gandingan Mamut dan Adisak jelas mengecewakan lebih 11,500 peminat setia tuan rumah yang hadir buat kali pertama musim ini di laman sendiri.

Bersambung babak kedua, skuad kendalian Bojan Hodak mendapat peluang untuk memecah kebuntuan gol pada minit ke-56 hasil rembatan Zhafri Yahya dan pemain gantian, Muhammad Haqimi Azim Rosli pada minit ke-63, namun Rahadiazli lebih pantas menghalang percubaan dua pemain itu.

Sedar jentera serangan kurang efektif, Steinbrukner memasukkan import baharu, Omid Nazari dan Faiz Nasir bagi menggantikan Syafik Ismail dan Adisak, namun masih belum mampu mencipta jaringan pertama musim ini menyaksikan keputusan muktamad kekal 0-0.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 5 Mac 2023 @ 11:33 PM