ADISAK (kanan) diasak pemain KL City FC, pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
ADISAK (kanan) diasak pemain KL City FC, pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Selepas belum lagi menemui sentuhan jaringan, dua penyerang import Terengganu FC (TFC), Adisak Kraisorn dan Ivan Mamut bagaikan tidak sabar untuk membuka 'akaun' jaringan pertamanya dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Jelas Adisak, dia sentiasa berusaha untuk menjaringkan gol setiap kali diturunkan ketua jurulatih, Tomislav Steinbrukner, namun setakat ini belum lagi berjaya merealisasikan impian itu.

Penyerang kebangsaan Thailand itu bagaimanapun percaya akan tiba masanya buatnya untuk meledak jaringan sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan sulung pada musim ini selepas gagal berbuat demikian pada tiga aksi terdahulu.

"Jika diturunkan jurulatih menentang PDRM FC pada Sabtu ini, saya akan berusaha sedaya upaya untuk menjaringkan gol sekali gus membantu pasukan merakam kemenangan pertama pada musim ini.

"Namun bola sepak adalah aksi berpasukan, tidak semestinya saya yang menjaringkan gol, jika rakan sepasukan mempunyai peluang untuk menjaringkan gol, pasti mereka pun mampu mencetak namanya sebagai penjaring, yang penting adalah tiga mata terutama beraksi di tempat sendiri.

"Lagipun bukan sahaja peminat mahukan kemenangan, kami pun sama, saya percaya rakan sepasukan juga sentiasa berusaha untuk melakar kemenangan sekali gus sebagai penawar pasukan," kata penyerang yang baharu musim pertama menyertai Liga M itu.

Bagi Mamut, dia juga terus berusaha untuk menjaringkan gol selepas hampa pada tiga aksi awal lebih-lebih lagi tugas menghasilkan jaringan itu terletak di bahunya sebagai penggempur utama skuad Penyu.

"Sejujurnya saya sedikit kecewa selepas gagal menjaringkan gol selepas tiga perlawanan, apatah lagi tugas itu terletak di bahu saya bersama rakan penyerang.

"Tapi sebagai pemain saya tidak akan putus asa sebaliknya terus bekerja keras untuk mendapatkan jaringan dan kemenangan kerana saya sedar bukan kami sahaja mahukan kejayaan malah peminat juga pasti dahagakan kemenangan, sokongan padu daripada peminat sentiasa ditagih.

"Justeru jika masih lagi diberikan peluang beraksi menentang PDRM FC, saya akan buktikan, lagipun saya percaya rakan sepasukan sentiasa berdisiplin dalam setiap perlawanan selain kami jadikan kesilapan pada aksi sebelum ini sebagai pengajaran untuk kami perbaiki kelemahan itu," kata penyerang tinggi lampai kelahiran Croatia itu yang juga musim pertama beraksi dalam saingan Liga M.

Selepas tiga perlawanan, TFC kini menghuni di kedudukan tercorot liga dengan hanya mengutip satu mata selepas terikat tanpa jaringan dengan Kuala Lumpur City FC (KL City) manakala dua aksi terdahulu berakhir dengan keputusan tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta'zim (JDT) dan 1-0 kepada Kedah Darul Aman FC (KDA FC).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 Mac 2023 @ 12:56 PM