MINTAH (dua dari kanan) meraikan jaringannya ketika TFC membelasah Kelantan FC 5-0, Selasa lalu. FOTO GHAZALI KORI
MINTAH (dua dari kanan) meraikan jaringannya ketika TFC membelasah Kelantan FC 5-0, Selasa lalu. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bukan lagi biasa-biasa, sebaliknya trio penyerang Terengganu FC (TFC) semakin berbisa selepas menemui sentuhan jaringan.

Malah barisan penyerang skuad Penyu diketuai pemain kelahiran Ghana, Jordan Mintah, Ivan Mamut (Croatia) dan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn dilihat kian serasi selepas tujuh perlawanan Liga Super.

Hal ini diakui Mintah yang melihat keserasian itu mampu menghadirkan situasi positif buat pasukan dalam mengharungi kancah Liga Malaysia (Liga M) dan Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia), musim ini.

Buktinya ketika TFC membelasah Kelantan FC 5-0 pada aksi ketujuh Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin Gong Badak, Selasa lalu, trio penyerang itu masing-masing meledak jaringan dengan Mamut cemerlang menyumbat dua gol, Mintah dan Adisak masing-masing menyumbang satu jaringan manakala satu gol lagi dihasilkan pemain sayap, Hakimi Abdullah.

"Walaupun pada bulan Ramadan, saya sentiasa berusaha untuk menjaringkan gol yang banyak untuk membantu pasukan merakam kemenangan, sekali gus menghentikan kritikan dan komen negatif.

"Kami harap dapat menjaringkan lebih banyak gol selepas ini, saya pasti masanya akan tiba, yang penting kami perlu terus berikan yang terbaik ketika bermain.

"Lagipun saya dan Adisak kian serasi di posisi serangan, begitu juga dengan Mamut. Sememangnya kami lebih memahami antara satu sama lain kerana perlu berkomunikasi sambil mengubah pergerakan berdasarkan situasi perlawanan.

"Saya harap kami dapat meneruskan rentak kemenangan apabila melayan kunjungan Kuching City FC (KCFC), Ahad ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 6 April 2023 @ 2:44 PM