Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Biarpun menang tipis, pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner tetap berpuas hati dengan prestasi pemainya yang akhirnya berjaya merakam kejayaan kedua pada musim ini selepas enam perlawanan.

Jurulatih kelahiran Croatia itu menyifatkan prestasi anak buahnya semakin meningkat daripada satu perlawanan ke satu perlawanan walaupun deretan peluang yang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan oleh barisan penyerang.

Pada aksi malam tadi, strategi bekas pengendali pasukan kelab T-Team itu menjadi apabila menyenaraikan pemain kebangsaan Thailand, Adisak Kraisorn bergandingan dengan penyerang kelahiran Ghana, Jordan Mintah dengan merehatkan Ivan Mamut sebelum memasukkan penyerang kelahiran Croatia itu sebagai pemain gantian pada babak kedua.

Seawal minit kelima, TFC di depan menerusi jaringan pemain naturalisasi, Liridon Krasniqi sebelum Mintah meledak gol kedua pada minit ke-28 manakala gol saguhati skuad Kijang Hijau dijaringkan Jose Porteria pada minit ke-76 untuk menjadikan keputusan 2-1 memihak kepada TFC.

"Walaupun menang tipis, saya tetap berpuas hati apabila kami dapat mengutip tiga mata berharga hasil dua jaringan awal itu, ia bukan tugasan mudah buat pemain kerana lawan bangkit untuk memburu jaringan terutama pada babak kedua dengan menekan permainan selain melakukan percubaan tepat.

"Kita tahu sebarang kelekaan walaupun sesaat boleh mengundang padah, lawan boleh menjaringkan gol, ketika kita mendahului 2-0, lawan giat menyusun gerakan untuk mencari gol, akhirnya mereka berjaya membolosi gawang kita pada 15 minit terakhir perlawanan.

"Namun pemain kami berjaya mengekang asakan lawan hingga wisel penamat ditiupkan pengadil, kejayaan ini adalah sesuatu yang baik selepas perlawanan terakhir sebelum ini kami tewas 2-1 kepada Negeri Sembilan.

"Bagaimanapun ada kelemahan yang perlu diperbaiki segera terutama banyak peluang terhidang gagal disudahkan dengan jaringan, sepatutnya lebih banyak gol diperoleh malam ini (malam tadi) kerana banyak peluang dapat dicipta, namun sebaliknya hanya dua jaringan terhasil," katanya.

REAKSI Steinbruckner (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori
REAKSI Steinbruckner (kanan) pada perlawanan Liga Super Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin. FOTO Ghazali Kori

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 April 2023 @ 1:04 PM