MINTAH (kiri) bakal mengetuai jentera serangan TFC menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok. FOTO Ghazali Kori
MINTAH (kiri) bakal mengetuai jentera serangan TFC menentang PDRM FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak malam esok. FOTO Ghazali Kori
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Pengendali Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbrukner membayangkan akan meletakkan Jordan Mintah sebagai penyerang utama berdepan PDRM FC pada aksi keempat Liga Super di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Gong Badak, malam esok.

Jurulatih kelahiran Croatia itu menjelaskan, beliau tidak sanggup lagi melihat skuad kendaliannya 'kemarau jaringan' lebih-lebih lagi TFC kini menghuni di kedudukan tercorot liga selepas hanya mengutip satu mata selepas tiga perlawanan.

Malah lebih mengecewakan, skuad Penyu yang bakal 'terbang' ke Asia untuk bersaing dalam Piala AFC (Konfederasi Bolasepak Asia) musim ini adalah satu-satunya pasukan yang belum lagi meledak sebarang jaringan dalam aksi Liga Super.

Bagaimanapun berusia 57 tahun itu belum mahu memutuskan lagi sama ada penyerang kelahiran Ghana itu bakal diturunkan atau kekal memberikan peluang kepada penyerang Croatia, Ivan Mamut dan gandinganya, Adisak Kraisorn dari Thailand yang masih gagal membuka 'akaun' jaringan pertamanya walaupun bergelar antara penyerang terbaik kelab mereka sebelum menyertai TFC.

"Apabila saya melihat data maklumat pemain, beberapa dalam kalangan mereka mempunyai sepakan yang bagus dan mampu menjaringkan gol, tapi mereka setakat ini mereka gagal melakukannya.

"Jadi tugas saya kini adalah untuk mencari jalan penyelesaian selepas Mamut dan Adisak gagal mencipta jaringan walaupun dalam tiga perlawanan terdahulu beraksi dengan baik, kemungkinan besar saya akan melakukan rombakan dengan menyenaraikan Mintah.

"Saya mahu memberi peluang kepada pemain itu (Mintah) membuktikan kemampuannya sebagai penyerang, saya harap dia mampu memberikan jawapan kemarau jaringan jika diberi peluang terutama selepas tiga perlawanan tanpa jaringan.

Selain Mintah, jurulatih yang lebih mesra dipanggil 'Tommy' itu dijangka menyenaraikan pemain tengah, Habib Haroon yang sudah pulih daripada kecederaan selain dua pemain sayap, Faiz Nasir dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim bagi memantapkan lagi pasukan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mac 2023 @ 2:40 PM