MAMUT idam buru lebih banyak gol dalam musim pertama bersama TFC. FOTO GHAZALI KORI
MAMUT idam buru lebih banyak gol dalam musim pertama bersama TFC. FOTO GHAZALI KORI
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Bintang import Terengganu FC (TFC), Ivan Mamut menaruh keyakinan yang tinggi untuk buru jaringan berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras pada 21 Oktober ini.

Ia bagi memastikan pasukannya mempunyai bekalan selesa sebelum aksi timbal balik kedua di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak pada 3 November depan dalam misi melangkah ke pentas final piala berprestij itu.

Jelas pemain kelahiran Croatia itu, dia akui belum puas mencipta jaringan bersama pasukan baharunya itu lebih-lebih lagi sedar harapan untuk mendapatkan jaringan menjadi tanggungjawabnya sebagai penyerang bersama pemain kelahiran Thailand, Adisak Kraisorn.

Terkini pemain berusia 26 tahun berketinggian 1.92 meter itu sudah meledak 17 gol termasuk 10 jaringan dalam saingan Liga Super menjadikannya penjaring terbanyak skuad Penyu setakat ini.

"Fikiran saya kini terarah bagaimana untuk melangkah ke pentas final dan cuba memenangi Piala Malaysia kerana saya lihat prestasi semasa pasukan semakin meningkat selain peluang untuk menang tetap ada terutama ramai pemain muda yang bagus.

"Lagipun saya ada keyakinan yang tinggi kerana kami sudah membuat persediaan yang rapi sejak bulan lalu lagi dengan latihan keras untuk menjaringkan gol.

"Malah dalam saingan Piala AFC, kami berjaya kumpul empat mata dalam dua perlawanan dan ia sesuatu yang bagus buat pasukan, jadi saya yakin kami dapat kalahkan KL City.

"Secara peribadi saya juga berpuas hati dengan jaringan kerana ia tidak mudah lebih-lebih ini musim pertama saya bermain di Asia Tenggara, bagaimanapun sejujurnya saya rasa perlu sedikit masa untuk menyerap tekanan di sini, mungkin jika dikekalkan pada musim depan, saya mampu lakukan dengan lebih baik.

"Buat rakan sepasukan, saya harap mereka juga sudah bersedia selepas beberapa kecederaan dialami mereka, ini peluang terbaik untuk menebus kehampaan gagal ke final dalam saingan Piala FA selepas tumpas kepada KL City pada Jun lalu," ujarnya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 Oktober 2023 @ 3:01 PM