GAYA Sherman meraikan jaringan ketika menentang Kelantan FC. FOTO  Farizul Hafiz Awang
GAYA Sherman meraikan jaringan ketika menentang Kelantan FC. FOTO Farizul Hafiz Awang
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak menyembunyikan perasaan teruja selepas skuadnya menewaskan Kelantan FC 4-1 pada perlawanan kedua Liga Super di Stadium Darul Makmur, semalam.

Bekas pemain kebangsaan Singapura itu berkata, kemenangan itu memberi suntikan semangat kepada anak buahnya untuk tampil lebih baik pada perlawanan akan datang.

"Sudah pasti saya gembira dengan kemenangan ini terutama di hadapan penyokong sendiri. Terima kasih kepada penyokong yang hadir kerana kami tidak boleh hampakan mereka.

"Sebenarnya kemenangan ini penting dan sebab itu kita sedaya upaya untuk meletakkan prestasi pasukan lebih baik dan mencatatkan kemenangan.

"Pada perlawanan malam ini (semalam), kombinasi antara pemain baik terutama di bahagian serangan dan tengah pada babak pertama. "Namun, pada babak kedua corak permainan berbeza tetapi saya tetap berpuas hati dengan kemenangan ini terutama beraksi di tempat sendiri," katanya.

Pada perlawanan itu, empat gol tuan rumah masing-masing satu dijaringkan oleh Kpah Sherman pada minit ke-11, Kevin Ingreso (m-38), Sergio Aguero (m-43) dan Stefano Brundo (m-45).

Gol tunggal Kelantan pula dijaringkan pemain gantian, Miguel Garrido pada minit akhir perlawanan.

Mengulas jaringan Sherman, Fandi berpuas hati dengan sentuhan gol daripada pemain Liberia itu.

"Gandingan bersama rakan sepasukan di bahagian tengah terutama Nor Azam Azih membantu selepas Sherman tidak menjaringkan gol pada perlawanan pertama," katanya.

Ketika seri 1-1 berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pertama liga, Sherman tidak beraksi pada tahap terbaik termasuk gagal menjaringkan gol.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Mac 2023 @ 12:28 PM