SHERMAN meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SHERMAN meraikan jaringan golnya bersama rakan sepasukan. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Luar biasa, itu reaksi pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad selepas skuadnya bangkit daripada ketinggalan selepas menewaskan Negeri Sembilan FC (NSFC) 4-3 di Stadium Darul Makmur, malam tadi.

Kebangkitan luar biasa itu membuktikan skuad Tok Gajah kembali menemui rentak kemenangan selepas dua kekalahan berturut-turut dialami sebelum itu.

Fandi berkata, kemenangan itu lebih kepada semangat juang tinggi dan sikap tidak berputus asa dipersembahkan anak buahnya biarpun pada satu ketika ketinggalan 1-3 pada separuh masa pertama.

"Alhamdulillah, pemain menunjukkan persembahan luar biasa dan mereka memberikan lebih 200 peratus untuk memastikan kejayaan kepada pasukan.

"Apa yang penting, kita kembali mengutip tiga mata selepas mengalami dua kekalahan berturut-turut.

"Sebelum berdepan Negeri Sembilan, saya amat berharap Sri Pahang tidak mengalami kekalahan kali ketiga berturut-turut dan bersyukur pasukan bangkit mencatat kemenangan," katanya.

Fandi berkata, ketiadaan pemain pertahanan kental pelawat, Herold Goulon yang dikeluarkan pada babak kedua juga membantu Sri Pahang bangkit dengan menjaringkan tiga gol.

Katanya, ketinggian yang dimiliki Goulon membataskan percubaan yang dilakukan barisan pemainnya di bahagian serangan.

"Saya berterima kasih kepada pemain kerana berjaya bangkit biarpun tanpa lima pemain yang berdepan masalah kecederaan dan penggantungan," katanya.

Pada perlawanan itu, empat gol Sri Pahang, masing-masing dua dijaringkan Stefeno Brundo pada minit ke-23 dan 89 manakala satu oleh David Rowley dan Kpah Sherman minit ke-79 dan 94.

Tiga gol Negeri Sembilan pula, masing-masing dijaringkan Levy Clement pada minit kelapan, Shahrel Fikri Md Fauzi (m-15) dan Casangrande (m-24).

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 10 Jun 2023 @ 12:36 PM