Asrol Awang


Kuantan: Di sebalik kemenangan 1-0 ke atas Perak FC semalam, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui tidak berpuas hati dengan persembahan keseluruhan skuad itu.

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, ini kerana banyak peluang yang dimiliki dipersia-siakan anak buahnya terutama pada babak pertama perlawanan.

"Bagi saya daripada segi keputusan (menang) ke atas Perak ok tetapi secara keseluruhannya saya tidak berpuas hati kerana kurang menyerlah terutama di bahagian serangan.

"Kita sepatutnya mengambil peluang yang ada tetapi mereka gagal bermain dengan baik ketika pasukan hanya menjaringkan satu gol.

"Namun, saya gembira kerana berjaya mencatat kemenangan dan kekal bersaing dengan pasukan teratas Liga Super," katanya.

Ditanya tempoh rehat dua minggu mengganggu momentum skuad Tok Gajah, Fandi mengakuinya walaupun mengadakan beberapa perlawanan persahabatan.

Katanya, berdepan pasukan bawahan dan menjaringkan banyak gol, ia berbeza apabila beraksi pada perlawanan sebenar.

"Saya harap pada perlawanan akan datang pemain dapat bermain dengan lebih baik terutama persembahan meyakinkan di bahagian serangan," katanya.

Pada perlawanan semalam, penyerang import Tok Gajah, Kpah Sherman muncul wira apabila jaringannya pada babak kedua minit ke-55 membantu skuad itu mengutip tiga mata.

Dengan kemenangan itu, Sri Pahang mengutip 37 mata dan berada di kedudukan keempat Liga Super.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Julai 2023 @ 11:19 AM
AKSI antara Sri Pahang dan Perak FC petang semalam. FOTOFARIZUL HAFIZ AWANG
AKSI antara Sri Pahang dan Perak FC petang semalam. FOTOFARIZUL HAFIZ AWANG