FANDI Ahmad. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
FANDI Ahmad. FOTO HAIRUL ANUAR RAHIM
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad mengakui sukar membuat pilihan dua penyerang yang bakal beraksi pada suku akhir kedua Piala Malaysia berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC di Stadium Darul Makmur, petang esok.

Legenda bola sepak Singapura itu, berkata ini kerana tiga penyerang iaitu Kpah Sherman, Rafael Silva dan Lucas Silva menunjukkan komitmen tinggi dalam usaha membantu skuad Tok Gajah mencatat kemenangan.

"Boleh saya katakan bahawa Sherman akan berada dalam senarai kesebelasan utama tetapi kini saya perlu memilih antara Rafael atau Lucas.

"Jika dilihat kepada komitmen dan persembahan, Rafael dan Lucas berada pada prestasi terbaik. Rafael pula menunjukkan persembahan menyakinkan pada suku akhir pertama lalu.

"Berbaki satu hari, saya harap Sherman akan mendapat gandingan yang mantap kerana fokus pasukan ialah memperkasakan jentera serangan kerana Sri Pahang ketinggalan satu gol," katanya.

Ditanya ketiadaan pemain pertahanan KL City, Kenny Pallraj yang digantung perlawanan, Fandi berkata, ia tidak memberi kelebihan kepada skuad Tok Gajah.

"Oleh itu saya harap pemain bijak memanfaatkan peluang yang ada terutama mendapatkan gol awal sebagai penyuntik semangat untuk memastikan aksi separuh akhir menjadi milik pasukan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 September 2023 @ 8:59 PM