PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
PENGENDALI Sri Pahang FC, Fandi Ahmad. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


Kuantan: Biarpun berjaya menewaskan Kuching City FC 3-2 di Stadium Darul Makmur malam tadi, pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad tidak begitu bangga dengan kemenangan itu. 

Legenda bola sepak Singapura itu berkata, segalanya serba tidak menjadi terutama pada babak pertama perlawanan selepas mendahului 1-0 hasil sepakan penalti. 

"Sebaik menjaringkan gol pendahuluan, pemain mengurangkan tempo permainan yang memberi ruang kepada lawan untuk menjaringkan gol. 

"Kuching City yang mahukan kemenangan melakukan serangan dan memberi tekanan kepada pemain yang menyaksikan dua gol dibolosi pada babak pertama. 

"Dengan kepantasan yang dimiliki lawan, pemain juga hilang tumpuan dan gagal melaksanakan tanggungjawab mereka dalam mengawal pergerakan pemain lawan termasuk melalui sepakan percuma. 

"Namun, apa yang penting Sri Pahang tidak kalah dan mengutip tiga mata dalam mengukuhkan kedudukan lebih baik dalam saingan Liga Super," katanya. 

Pada masa sama, Fandi sudah menjangkakan Kuching City akan memberi tentangan sengit serta mahukan kemenangan kerana kelab itu berada di kedudukan tercorot. 

"Oleh itu saya harap pemain dapat memperbaiki segala kesilapan dalam tempoh rehat sebulan ini untuk menamatkan saingan liga di kedudukan terbaik," katanya. 

Pada perlawanan itu, tiga gol skuad Tok Gajah, masing-masing satu dijaringkan oleh Stefano Brundo pada minit ke-12, Kuvondik Ruziev (m-43) dan Rafael Silva (m-61) manakala dua gol Kuching City, masing-masing satu dijaringkan Pedro Henrique pada minit ke-15 dan Abu Kamara (m-25). 

Dengan kemenangan itu, Sri Pahang melonjakkan kedudukan keempat liga dengan mengutip 43 mata daripada 21 perlawanan manakala Kuching City pula kekal berada di kedudukan tercorot dengan hanya mengutip tujuh mata.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 1 Oktober 2023 @ 11:25 AM