SHERMAN meraikan gol ketika bertemu Harini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
SHERMAN meraikan gol ketika bertemu Harini. FOTO FARIZUL HAFIZ AWANG
Asrol Awang


Kuantan: Pengendali Sri Pahang FC, Fandi Ahmad bangga dengan komitmen padu yang dipersembahkan skuad itu apabila mengesahkan tempat ke suku akhir Piala Malaysia.

Legenda bola sepak Singapura itu, berkata kemenangan menerusi agregat 5-2 ke atas kelab M3, Harini Selangor FT menyuntik semangat kepada skuad Tok Gajah untuk mencatat keputusan membanggakan dalam saingan piala berprestij itu.

"Saya berpuas hati kerana apa yang dilakukan sepanjang latihan dapat diterjemahkan ketika Harini dilihat memberi saingan sengit terutama pada separuh masa pertama.

"Namun, gol pertama tiga minit sebelum berakhir pada babak pertama menyuntik semangat kepada pemain.

"Sebaik bersambung babak kedua, gol kedua yang dijaringkan itu menjatuhkan semangat pemain Harini sekali gus mengesahkan kemenangan dan memastikan Sri Pahang layak ke suku akhir," katanya.

Fandi turut memuji persembahan yang dipamerkan pemain di bahagian tengah yang diketuai kapten pasukan, Sergio Aguero yang banyak membantu memberi tekanan kepada lawan.

Katanya, bukannya mudah bermain dengan Harini yang mempunyai barisan pemain berpengalaman dan bermain dengan semangat juang tinggi.

"Tetapi ketenangan yang dipersembahkan pemain dan kombinasi antara pemain membantu walaupun persembahan yang ditunjukkan pada babak pertama kurang," katanya.

Pada perlawanan kedua saingan 16 Piala Malaysia semalam, Sri Pahang menewaskan Harini Selangor 2-0 selepas mencatat kemenangan 3-2 pada perlawanan pertama, 4 Ogos lalu.

Dua gol skuad Tok Gajah dijaringkan penyerang berbisa, Kpah Sherman pada minit ke-42 dan 51.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 21 Ogos 2023 @ 12:49 PM