BARISAN pemain Sri Pahang pada musim baharu. FOTO Sri Pahang FC
BARISAN pemain Sri Pahang pada musim baharu. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Sri Pahang FC yang menampilkan lebih ramai pemain berpengalaman musim ini sedia untuk memberikan cabaran dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Pengurus pasukan, Datuk Dollah Salleh, berkata kehadiran pemain berpengalaman termasuk diperkuatkan pemain import diyakini membantu membentuk pasukan yang lebih mantap.

"Berdasarkan sesi latihan termasuk aksi pramusim di Bangkok Thailand baru-baru ini, saya gembira dengan komitmen semua pemain.

"Di Bangkok, Sri Pahang turut mengadakan perlawanan persahabatan dengan kelab Korea Selatan.

"Walaupun keputusan perlawanan tidak berpihak kepada pasukan, banyak peningkatan daripada segi permainan dipersembahkan jika dibandingkan musim lalu.

"Oleh itu saya percaya ketua jurulatih (Fandi Ahmad) akan memainkan peranan untuk memastikan skuad kali ini lebih mantap.

"Begitu juga pemain sedia ada juga dilihat berjaya meningkatkan prestasi masing-masing untuk membantu melonjakkan prestasi pasukan musim ini," katanya yang juga Pengarah Teknikal SPFC.

Musim ini Sri pahang mempertaruhkan lima pemain berpengalaman termasuk pemain Harimau Malaya, Nur Shamie Iszuan.

Selain itu adalah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan serta tiga pemain pertahanan iaitu Syazwan Andik Ishak, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Enam import yang memperkasakan skuad Tok Gajah musim ini ialah Sherzod Fayziev dari Uzbekistan, Kevin Ingreso (Filipina), Kpah Sherman (Liberia), Stefano Brundo (Argentina), Lucas Silva (Brazil) dan Michael Glassock (Australia).

Musim ini turut memperlihatkan Fandi yang juga bekas pemain Singapura dilantik sebagai ketua jurulatih.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 21 Februari 2023 @ 4:57 PM