AKSI penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan. -FOTO Sri Pahang FC
AKSI penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan. -FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) belum pasti status tiga pemain pinjaman Johor Darul Ta'zim (JDT) sama ada akan kekal atau sebaliknya bersama Sri Pahang FC musim depan.

Sumber kelab itu berkata, setakat ini, tiada kata putus berhubung status tiga pemain berkenaan tetapi usaha mengekalkan mereka sedang dilakukan.

"Mengikut perancangan, khidmat tiga pemain yang dipinjamkan ini masih diperlukan Sri Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

"Namun, segalanya masih dalam perbincangan kerana ada antara mereka turut menerima tawaran bermain dengan pasukan lain," kata sumber itu.

Tiga pemain JDT yang dipinjamkan ialah penjaga gol, Izham Tarmizi Roslan serta dua pemain pertahanan iaitu Syazwan Andik Ishak dan Azrif Nasrulhaq.

Musim ini, tiga pemain berkenaan menjadi nadi utama skuad kendalian Fandi Ahmad itu dan berdasarkan perjanjian, mereka hanya dipinjamkan untuk semusim sahaja.

Kemasukan mereka turut membantu mengukuhkan jentera pertahanan skuad Tok Gajah dan jika mereka tidak bersama musim depan, Sri Pahang perlu mendapatkan pemain berpengalaman untuk menguatkan kubu pasukan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Disember 2023 @ 3:29 PM