FANDI sedang melakukan persiapan rapi membentuk pasukan. FOTO Sri Pahang FC
FANDI sedang melakukan persiapan rapi membentuk pasukan. FOTO Sri Pahang FC
Asrol Awang


Kuantan: Kelab Bolasepak Sri Pahang (SPFC) tidak mahu skuad itu tercicir mata apabila berdepan Negeri Sembilan FC (NSFC) pada perlawanan pertama Liga Super, Ahad ini.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SPFC, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata, biarpun beraksi di tempat lawan, ia bukan mustahil dilakukan skuad kendalian Fandi Ahmad itu.

"SPFC mengharapkan perlawanan pertama liga akan berpihak kepada Sri Pahang biarpun tuan rumah dilihat memiliki kelebihan.

"Namun, Sri Pahang perlu untuk mengutip mata di tempat lawan sebagai motivasi awal untuk mempamerkan prestasi terbaik dalam saingan Liga Malaysia (Liga M), khususnya Liga Super musim ini.

"Saya percaya dengan komitmen tinggi yang dipersembahkan termasuk berlatih di Bangkok, Thailand baru-baru ini mampu memberi impak positif buat pasukan," katanya.

Mengulas jawatan ketua jurulatih yang disandang Fandi musim ini, Mohammed Suffian percaya bekas pemain Singapura itu mampu mempertingkatkan prestasi lebih baik Sri Pahang musim ini.

Katanya, sebagai pemain lagenda dan berpengalaman luas dalam bola sepak negara, Fandi dapat membentuk barisan pemain yang mantap.

"Pada masa sama, Fandi akan bergandingan dengan Datuk Dollah Salleh selaku pengurus pasukan dan Pengarah Teknikal SPFC musim ini.

"Oleh itu, bukan sahaja barisan kejurulatihan, malah komitmen dan prestasi lebih baik dapat dipersembahkan semua pemain.

"Lebih-lebih lagi, persembahan menyakinkan daripada enam pemain import serta gabungan pemain berpengalaman dan muda," katanya.

Enam import yang memperkasakan skuad Tok Gajah musim ini ialah Sherzod Fayziev dari Uzbekistan, Kevin Ingreso (Filipina), Kpah Sherman (Liberia), Stefano Brundo (Argentina), Lucas Silva (Brazil) dan Michael Glassock (Australia).

Selain itu, musim ini Sri Pahang mempertaruhkan lima pemain berpengalaman iaitu Nur Shamie Iszuan, Izham Tarmizi Roslan, Syazwan Andik Ishak, Azrif Nasrulhaq dan Fadhli Shas.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Februari 2023 @ 5:42 PM