AKSI antara Real dan Valencia pagi tadi. FOTO EPA
AKSI antara Real dan Valencia pagi tadi. FOTO EPA
AFP

Madrid: Real Madrid merapatkan jurang dengan pendahulu La Liga kepada lima mata selepas mencatat kemenangan 2-0 ke atas Valencia, berpunca daripada jaringan luar biasa Marco Asensio dan Vinicius Junior.

Kedua-dua pemain itu meledak gol dalam tempoh tiga minit pada separuh masa kedua sekali gus mengejutkan pelawat di Santiago Bernabeu.

Valencia kemudiannya terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Gabriel Paulista mengasari Vinicius.

Real mendominasi saingan namun terkesan dengan kecederaan ketua pasukan, Karim Benzema yang terpaksa dikeluarkan pada separuh masa kedua berikutan kesakitan di bahagian paha dan Eder Militao juga digantikan akibat masalah sama.

Jurulatih Real Madrid, Carlo Ancelotti mengesahkan kecederaan Benzema adalah 'sangat ringan' tetapi Militao akan terlepas aksi menentang Real Mallorca Ahad ini.

Aksi pagi tadi mungkin akan diingati kerana terjahan Gabriel ke atas Vinicius, yang menjaringkan gol ke-50 untuk Madrid pada penampilan ke-200 pada usia 22 tahun.

"Kami perlu melindungi sedikit Vinicius, dia pemain yang baik, dia banyak menggelecek dan pertahanan tidak menyukainya," kata penjaga gol Real Madrid, Thibaut Courtois kepada DAZN.

"Kami perlukan Vini. Dalam banyak perlawanan dia sering dikasari. Saya gembira pengadil ada keberanian memberikan kad merah kepada Paulista.

"Bukan kerana dia Vini – jika kami melakukan seperti itu ia juga perlu dibuang padang."

Jurulatih sementara Valencia, Voro, mengambil alih pasukan buat kali kelapan selepas pemergian Gennaro Gattuso Isnin lalu dan dia melalui perlawanan sukar berdepan juara bertahan itu.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Februari 2023 @ 9:22 AM