JOELINTON meraikan gol pembukaan Brazil pada penampilan sulungnya. FOTO AFP
JOELINTON meraikan gol pembukaan Brazil pada penampilan sulungnya. FOTO AFP
Reuters

Barcelona: Brazil mengalahkan Guinea 4-1 dalam perlawanan persahabatan pagi tadi dengan Joelinton, Rodrygo, Eder Militao dan Vinicius Jr menjaringkan gol untuk juara dunia lima kali itu.

Mereka memakai jersi serba hitam pada separuh masa pertama untuk mempromosikan kempen anti-perkauman.

Ia adalah aksi pertama daripada dua perlawanan persahabatan Brazil menentang negara Afrika bagi menyokong penyerang Real Madrid, Vinicius, yang didera secara perkauman dalam perlawanan LaLiga di Valencia Mei lalu.

Ia adalah insiden kali ke-10 membabitkannya musim ini dan LaLiga membuat laporan kepada pendakwa raya.

Pemain tengah Newcastle United, Joelinton, yang membuat penampilan sulung di peringkat antarabangsa, membuka jaringan pada minit ke-26 dengan penyudah jarak dekat.

Rodrygo mengukuhkan kedudukan lima minit kemudian dengan rembatan yang tidak mampu untuk diselamatkan selepas membuat larian di sebelah kanan.

Guirassy Serhou mengambil kesempatan di atas kegoyahan pertahanan Brazil dengan meledak gol untuk cuba merapatkan kedudukan selepas berpunca daripada serangan balas pantas.

Bagaimanapun, Militao terus mengukuhkan kedudukan Brazil hasil jaringan melalui tandukan dan Vinicius mengesahkan kemenangan apabila menyempurnakan penalti empat minit sebelum perlawanan tamat.

Selepas ini Brazil akan berdepan Senegal di Lisbon Rabu depan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 Jun 2023 @ 8:51 AM