KEJADIAN berlaku di Stadium Metropolitano Atletico. FOTO Agensi
KEJADIAN berlaku di Stadium Metropolitano Atletico. FOTO Agensi
AFP

Madrid: Seorang peminat Atletico Madrid ditahan kerana melakukan serangan perkauman terhadap kanak-kanak perempuan berusia lapan tahun yang memakai jersi penyerang Real Madrid, Vinicius Junior.

Lelaki itu dituduh 'menyerang' kanak-kanak 'yang berada bersama ahli keluarganya', dengan mengeluarkan 'penghinaan perkauman dan ugutan bunuh' kerana dia memakai 'jersi dengan tertera nama pemain Brazil itu', kata polis dalam satu kenyataan.

Penyokong yang sedang disiasat 'sebagai pelaku jenayah kebencian', juga 'dua kali memukul' lengan orang yang memegang kanak-kanak itu, sebelum peminat lain campur tangan.

Peristiwa itu berlaku pada 24 September, sebelum aksi tetangga Madrid, manakala kanak-kanak itu bersama ibu saudaranya berhampiran Stadium Metropolitano Atletico.

Dalam temu bual dengan radio Cadena Ser, ibu saudara itu mendakwa diserang bersama anak saudaranya oleh penyokong Ultra Frente Atletico, kerana kanak-kanak itu memakai jersi Vinicius.

Selepas serangan itu, Real Madrid menjemput kanak-kanak itu ke Stadium Santiago Bernabeu untuk memberinya jersi dengan kehadiran pemain termasuk Rodrygo, Militao, Vinicius, dan presiden kelab, Florentino Perez.

Vinicius, 23, menjadi simbol perjuangan menentang diskriminasi dalam bola sepak Sepanyol selepas mengalami banyak penderaan perkauman.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 29 Februari 2024 @ 10:45 PM