Penyerang Real Madrid, Karim Benzema (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO AFP
Penyerang Real Madrid, Karim Benzema (dua kiri) meraikan jaringan bersama rakan sepasukannya. FOTO AFP
AFP

Madrid: Karim Benzema melepasi 300 gol buat Real Madrid dan Vinicius Junior menampilkan satu lagi magis ketika teraju La Liga itu menewaskan Valencia 4-1, pagi ini.

Benzema dan Vinicius masing-masing meledak dua gol di Santiago Bernabeu untuk membolehkan Madrid memungut lapan mata mendahului pasukan tangga kedua, Sevilla yang masih ada baki dua perlawanan bermula dengan Getafe hari ini.

Gol ke-300 Benzema hadir menerusi penalti sebelum Vinicius mengatasi lima pertahanan Valencia untuk menambah gol kedua pada babak kedua.

Vinicius kemudian menanduk masuk gol ketiga dan Benzema menambah yang keempat manakala Goncalo Guedes menyempurnakan penalti buat tuan rumah.

Benzema sudahpun meledak 17 gol musim ini dan Vinicius 12, gabungan 29 gol antara mereka melebihi keseluruhan 13 dalam divisyen berkenaan termasuk pasukan tangga keempat, Real Sociedad.

"Saya rasa sangat bagus bersama Vinicius. Saya sentiasa di sini untuk membantunya, saya tahu potensi dimilikinya, saya rasa dia boleh mencapai tahap lebih tinggi. Dia pemain yang menakjubkan buat kami," kata Benzema.

Jaringan ke-300 Benzema hadir selepas 584 penampilan buat Real Madrid. Dia adalah pemain keempat dalam sejarah kelab untuk mencipta pencapaian itu, menyertai trio Cristiano Ronaldo, Raul dan Alfredo di Stefano.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 January 2022 @ 8:23 AM