Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Naib juara Liga Super musim lalu, Terengganu FC (TFC) melakar sejarah tersendiri apabila menjadi kelab pertama di Malaysia yang memiliki TFC PLAY iaitu platform perkhidmatan 'streaming'.

Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh berkata, peminat setia skuad TFC bakal disajikan dengan kandungan video eksklusif skuad itu melalui platform itu.

Tambahnya, dengan cogan kata 'Ultimate Football Experience, Anytime, Anywhere', skuad TFC terus melangkah ke hadapan dalam misi mengukuhkan lagi 'jenama' kelab berkenaan.

Katanya, aplikasi itu menyediakan pelbagai kandungan membabitkan hampir 100 video menarik setahun khas buat peminat yang tidak terdapat dalam platform lain.

Ab Rasid berkata, pewujudan TFC Play juga salah satu anjakan bagi menaikkan lagi nilai komersial kelab dengan menjadikan ianya sebagai aset dalam usaha untuk menarik minat pelabur dan rakan rasmi untuk menjalinkan kerjasama bersama kelab.

"Pelancaran TFC PLAY ini menjadi penanda aras baharu buat kelab dan peminat setia pasukan yang sentiasa menyokong bagi memastikan kelab ini terus berdaya saing dalam kancah Liga Malaysia (Liga M) dan juga pentas Asia.

"Dengan melanggan TFC PLAY serendah RM60 setahun atau RM7 sebulan, peminat akan dapat menyaksikan video eksklusif termasuk aksi persahabatan pramusim, dokumentari, filem, latihan pasukan, diari pasukan dan banyak lagi.

"Maknanya peminat yang melanggan TFC PLAY ini tidak rugi sebaliknya akan teruja kerana platform ini adalah yang pertama dalam Liga M dengan sasaran langganan bagi musim ini sebanyak 5,000 pelanggan.

"Bagaimanapun menerusi platform ini, pelanggan tidak boleh menonton perlawanan secara siaran langsung membabitkan TFC dalam saingan Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia dan Piala AFC kerana ianya mempunyai hak penyiaran tersendiri," katanya ketika ditemui selepas Majlis Pelancaran TFC PLAY di pejabat kelab itu hari ini yang turut dihadiri Ketua Pegawai Operasi, Mohd Sabri Abas, Ketua Pegawai Pemasaran, Dzul Ikram Arpin dan Pengurus Teknologi, Dzul Arman Shah Abdul Aziz.

Mengulas lanjut, Ab Rasid menjelaskan TFC PLAY ini menjadi medium penting untuk mendekatkan lagi hubungan antara kelab dan peminat lebih-lebih lagi penyokong TFC adalah antara yang paling ramai membanjiri stadium setiap kali pasukan beraksi.

"Selain itu dengan adanya platform ini ianya sebagai salah satu cabang penjanaan pendapatan kelab ke arah penswastaan penuh tanpa bantuan daripada kerajaan negeri pada masa akan datang," katanya.

KELAB penyokong TFC harap kemenangan berpihak kepada skuad itu berdepan KL City FC, Ahad ini. FOTO TFC
KELAB penyokong TFC harap kemenangan berpihak kepada skuad itu berdepan KL City FC, Ahad ini. FOTO TFC

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 January 2023 @ 8:34 PM