TFC Sdn Bhd jalin kerjasama dengan ESMT bagi menubuhkan pasukan 'virtual' TFC. FOTO TFC
TFC Sdn Bhd jalin kerjasama dengan ESMT bagi menubuhkan pasukan 'virtual' TFC. FOTO TFC
Malik Muhamad


Kuala Terengganu: Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd terus mengorak langkah apabila menjadi kelab bola sepak pertama di Malaysia yang menceburi bidang sukan elektronik atau e-Sukan.

Bagi memastikan penubuhan pasukan bola sepak 'virtual' Terengganu FC tercapai, TFC Sdn Bhd kini menjalin kerjasama strategik dengan e-Sports Malaysia Terengganu (ESMT) yang bakal membantu kelab itu terutama dalam bidang pengurusan operasi berkaitan sukan itu.

Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh menjelaskan, dengan pembabitan dalam e-Sukan itu ianya bakal membuka peluang yang lebih besar kepada peminat dan penggiat sukan itu untuk menceburi bidang berkenaan kerana pasarannya cukup luas.

Katanya, dengan wujudnya e-Sukan ini ianya menjadi platform terbaik dan relevan buat kelab untuk memasarkan jenama TFC bukan hanya dalam negara tapi hingga ke peringkat antarabangsa.

"Di samping itu, penubuhan pasukan virtual ini juga menjadi landasan terbaik bagi memastikan bidang sukan ini terus bertapak dan berkembang di negara selain mampu membentuk dasar penyelarasan dalam sukan itu sendiri dengan melatih para pemain kerana kerjaya ini menguntungkan.

"Lagipun sukan elektronik ini mendapat pengiktirafan daripada Majlis Sukan Negara (MSN) yang boleh menjadi salah satu industri serta sumber ekonomi baharu kepada individu yang meminati permainan video.

"Pemain yang terpilih menyarung jersi pasukan TFC itu nanti berpeluang menyertai kejohanan anjuran Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) dan Pro Evolution Soccer (PES) di peringkat kebangsaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Presiden ESMT, Ahmad Shahrul Nizam Ab Ghani melihat kerjasama itu begitu positif lebih-lebih lagi ianya yang pertama diwujudkan di negara ini membabitkan pasukan bola sepak utama.

"Dengan kerjasama ini ESMT dan TFC Sdn Bhd berada di landasan terbaik bagi melahirkan atlet pelapis serta juara dalam sukan itu sekali gus mampu mengharumkan nama Terengganu di persada antarabangsa suatu hari nanti," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 3 Jun 2021 @ 12:26 PM